PERSATUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menangguhkan sekali lagi keputusan badan induk tersebut terhadap cadangan Palestin supaya Israel digantung daripada sukan bola sepak antarabangsa susulan kekejaman jenayah perang di Gaza.

FIFA sebelum itu pada Julai merancang mengadakan mesyuarat luar biasa membincangkan perkara tersebut selepas penilaian terhadap cadangan Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) dihantar pada Mei lalu, yang akan diumumkan pada 31 Ogos.

Namun terbaharu badan induk bola sepak dunia itu sekali lagi menangguhkan keputusan berkenaan cadangan PFA terhadap Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) hingga Oktober depan.

“FIFA telah menerima penilaian undang-undang bebas mengenai cadangan PFA terhadap Israel. Penilaian ini akan dihantar kepada Majlis FIFA untuk disemak supaya perkara itu boleh dibincangkan pada mesyuarat pada Oktober,” kata FIFA.

Bagaimanapun FIFA tidak menyatakan butiran lanjut mengenai penilaian tersebut atau tarikh mesyuarat berkenan pada Oktober terhadap usul PFA yang mahu badan induk dunia tersebut menerima pakai sekatan yang sesuai terhadap pasukan Israel termasuk pasukan kebangsaan dan kelab.

PFA sebelum itu mendakwa IFA bersubahat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh kerajaan Israel, diskriminasi terhadap pemain Arab, dan kemasukan dalam liga kelabnya yang terletak di wilayah Palestin, namun IFA telah menafikan dakwaan tersebut.

Badan induk bola sepak Palestin itu mendakwa sekurang-kurangnya 92 pemain Palestin terbunuh dalam perang, kemusnahan infrastruktur bola sepak, penggantungan liga dan pasukan negara tersebut perlu bermain kelayakan Piala Dunia di luar negara. - Sinar Harian