PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan bahawa pemain Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl, tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai Harimau Malaya.

Ini kerana, berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.

Terdahulu, pemain itu telah menunjukkan minat untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain itu mempunyai darah keturunan Malaysia.

Justeru, FAM sejak dari 27 Jun 2024, telah pun dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

Hasil perbincangan, pemain itu telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan dia mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahirnya, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu, ibu kepada datuk pemain berkenaan.

Berdasarkan semakan, pemain itu mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.

Dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.

Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain itu, FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain itu yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).

FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah menghantar maklum balas mengenai perkara itu dan memaklumkan bahawa: "Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive."

Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan bahawa pemain berkenaan tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.

FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain itu atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan olehnya untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.

Untuk makluman, FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA. -- Stadium Astro