Meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan sebelum ke Kejohanan FIFA 18 Virtuelle Bundesliga, ia tidak sama sekali menjejaskan persiapan jaguh Asia Tenggara, Nur Amirul Afandi (AmTuah) untuk beraksi dengan baik dalam kejohanan itu.

AmTuah baru-baru ini mengumumkan dia meninggalkan pasukan Fire Dragoon (FDG) selepas hampir setahun bersama.

“Walaupun kontrak dengan pasukan lama FDG tamat lebih awal, namun ia tidak menjejaskan persiapan saya kerana Gamesbond banyak membantu menguruskan hal-hal berkaitan bagi memudahkan urusan ke Jerman ini.

“Saya kini lebih bersedia berbanding penyertaan saya di Piala Dunia Sukan Elektronik (ESWC) pada dua tahun lalu,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam sebelum berlepas ke Jerman.

Pada masa yang sama, AmTuah yang kini tidak bernaung dengan mana-mana pasukan buat ketika ini berdepan dengan cabaran lain apabila salah seorang ahli keluarga ditimpa kemalangan dan perlu menjalani pembedahan.

“Nenek saya terlibat dalam kemalangan baru-baru ini dan sekarang dia dimasukkan ke dalam wad.

“Dia juga perlu menjalani pembedahan pada hari yang saya akan bertanding dalam kejohanan itu nanti iaitu pada hari Jumaat ini,” jelas AmTuah yang tidak menyorokkan kesedihannya.

"Namun nenek saya kata jangan risau dan dia mahu saya fokus kepada 'game' (perlawanan) saya nanti,” sambung AmTuah.

Jelasnya lagi, setiap apa yang berlaku memberinya motivasi untuk melakukan yang terbaik demi Malaysia.


AmTuah juara Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara

AmTuah bakal berentap menentang pemain terbaik FIFA 18 dari seluruh dunia dalam kejohanan Virtuelle Bundesliga pada 31 Mac ini sebagai wakil Malaysia dan Asia Tenggara.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam itu sebelum ini merangkul kejuaraan Kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES) 2016 dan Kejohanan Cyberfest Terbuka Asia 2017.