MANCHESTER UNITED 5 CLUB BRUGGE 0
(United layak dengan agregat 6-1)

Odion Ighalo beremosi selepas berjaya memenuhi impian seumur hidupnya sebagai peminat Manchester United dengan meledak gol dalam penampilan sulungnya bersama skuad utama biarpun dilanda kesedihan.

Ighalo menyumbat gol kedua pasukannya dalam perlawanan timbal balik pusingan 32 Liga Europa itu untuk The Red Devils menang 5-0 ke atas 10 pemain Club Brugge 10 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Penyerang Nigeria berusia 30 tahun itu meraikan jaringannyadengan menyelak jersinya bagi mendedahkan lapisan baju dalam yang ditujukan kepada mendiang kakaknya, Mary, yang meninggal dunia Disember lalu.

Ighalo sanggup menerima gaji lebih rendah untuk memastikan kejutan pada hari terakhir perpindahan daripada kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua.



Dia memberitahu BT Sport: "Ini merupakan satu salah mimpi terbesar saya.

"Saya amat menantikan saat ini. Saya telah mengharungi tiga perlawanan namun tidak dapat memperagakan banyak aksi selain tiada gol.

"Wujud sedikit tekanan tetapi kini saya sudah berjaya mencetak gol untuk memulakan rekod jaringan di Manchester United dan ini adalah sebuah pasukan yang saya amat ingin sertai sejak kecil lagi, jadi ia satu langkah yang sangat baik.

"Saya sangat gembira dan bersyukur."

Ighalo memanfaatkan peluang yang terhidang dari jarak dekat itu selepas menerima umpanan daripada Juan Mata sejurus Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti.

Scott McTominay memberikan United gol ketiga dalam separuh masa pertama sebelum gandingannya di bahagian tengah, Fred, menokok dua gol lewat permainan.

Ighalo menambah: "Keyakinan kami tinggi dan kami bercakap tentang perkara itu sebelum memulakan perlawanan. Kami mengasak sejak minit pertama lagi dan bermain dengan gaya kami.

"Kad merah menyukarkan lagi situasi pihak lawan tatkala kami garang mengatur serangan dan kami bekerja keras sehingga minit terakhir."

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, tampil memuji penyerangnnya itu.

"Dia melakukan apa yang diperlukan," katanya. "Dia menggempur pintu gol lawan. Dia boleh menyimpan bola dan jaringannya itu merupakan satu contoh yang baik daripada apa yang kami harapkan daripadanya. Dia boleh menyimpan bola dan boleh menampung kekurangan kami.

"Jika kami tidak mempunyai Odion malam ini, maka Mason Greenwood perlu beraksi tetapi kami akan mengharungi perlawanan seterusnya pada hujung minggu ini. Situasi ini memenatkan, kami tahu apa yang akan kami peroleh ketika menandatanganinya."

United kini tidak terkalahkan dalam tujuh perlawanan, justeru Solskjaer percaya Ighalo dan muka baru, Fernandes, telah membantu untuk meningkatkan keyakinan di dalam bilik persalinan.

Beliau menambah: "Hari ini kami bermain bola sepak menyerang dan pemain-pemain telah bergandingan dengan baik. Pemain-pemain mempunyai keberanian, keyakinan dan senyuman terukir di wajah mereka.