KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes, mempercayai usaha pihak pengurusan kelabnya membawa muka baharu mampu memberikan tonik tambahan buat pasukan untuk bersaing, malah sehaluan dengan matlamatnya sebelum bersetuju dengan kontrak baharu untuk kekal di Old Trafford hingga 2027.

Dia komited dengan masa depan jangka panjangnya bersama The Red Devils selepas menandatangani kontrak baharu minggu lalu sebelum musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai.

Walaupun skuad kendalian Erik Ten Hag itu menamatkan saingan liga musim lalu di tempat kelapan, mereka berjaya merangkul trofi Piala FA Inggeris selepas menewaskan Manchester City 2-1 di Stadium Wembley.

"Kelab ini sedia maklum bahawa saya mahu bersaing dengan pasukan yang terbaik," katanya kepada MUTV.

"Meraka juga mengetahui bahawa kami perlu memperbaiki pasukan ini dan saya berfikiran bahawa kami juga sedang melakukannya.



"Saya katakan pada mereka bahawa: "Saya tidak memerlukan anda berjanji kami akan memenangi liga

"Tetapi sekurang-kurangnya kami akan mempunyai pasukan yang mampu bersaing sepanjang musim nanti, untuk cuba merangkul trofi serta bersaing di peringkat tertinggi.

"Sejujurnya, ketika ini saya melihat kelab ini sedang berusaha ke arah itu." katanya. - Stadium Astro