Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi pujian kepada penyokong pasukan Selangor dan Kedah kerana berdisiplin ketika hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pujian harus diberi kepada penyokong kedua-dua pasukan yang cukup berdisiplin tinggi tanpa mencetuskan kekecohan sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan untuk memastikan kelancaran perlawanan akhir kali ini.

"Kehadiran kira-kira 70,000 penyokong Selangor dan Kedah telah menghidupkan suasana yang cukup meriah sepanjang perlawanan dan saya dapati tanpa perlu membakar mercun, bom asap atau suar pun mereka tetap boleh memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap sikap dan kelakuan penyokong kedua-dua pasukan itu dapat diteruskan dan dicontohi penyokong pasukan lain.

Dalam kenyataan sama, Hamidin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor yang berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia buat kali ke-33.

Hamidin turut memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kerjasama baik bagi mempastikan perlawanan akhir itu berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan semua yang hadir di stadium.

Katanya, kehadiran kira-kira 2,200 anggota polis dan pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan di dalam dan luar stadium dengan baik sebelum, pada dan selepas perlawanan.