Raheem Sterling meledak gol ketiganya dalam kejohanan benua itu untuk meletakkan The Three Lions di depan hasil daripada gerakan menarik dalam babak kedua sebelum Harry Kane membuka akaun jaringannya dengan tandukan pada lewat permainan.
Pasukan asuhan Gareth Southgate itu bakal berdepan Ukraine di Rom dalam misi mengulangi kejayaan Piala Dunia 2018 yang menyaksikan mereka melangkah ke separuh akhir.
Jerman menjadikan kemeriahan di Stadium Wembley sedikit suram di peringkat awal permainan apabila garang mengatur serangan hingga mendorong Declan Rice dilayangkan kad kuning atas kekasarannya ketika mematahkan gerakan Leon Goretzka.
Namun, sepakan percuma itu gagal menggugat tuan rumah dan ia menjadi titik tolak untuk England memperkemaskan permainan mereka.
England mempunyai dua peluang menerusi tandukan Harry Maguire dan percubaan jarak jauh Sterling, sementara Jerman juga memiliki kesempatan menarik hasil usaha Timo Werner dan Robin Gosens.
Tetapi Kane memiliki kesempatan paling berharga dalam separuh masa pertama apabila sentuhan pertamanya berjaya memperdayakan penjaga gol, Manuel Neuer, sebelum campur tangan Mats Hummels.
Rehat separuh masa digunakan sebaiknya oleh pasukan Jerman kendalian Joachim Low selepas itu apabila lebih tersusun mengekang ancaman lawan.
Die Mannschaft juga mencipta beberapa peluang terutama ketika Kai Havertz menyusup dari sebelah sayap untuk menguji ketangkasan Jordan Pickford.
Begitupun, kedua-dua pasukan itu terus buntu hingga 70 minit lalu mendorong kemasukan Serge Gnabry dan Jack Grealish.
Grealish bingkas menawarkan sumbangan memberangsangkan apabila menjadi antara nadi gerakan gol yang disudahkan Sterling apabila menampan umpanan rendah Luke Shaw dari sebelah kiri.
Selepas jaringan pembukaan itu, Sterling hampir menjadi punca apabila tolakan ke belakangnya dipintas Thomas Muller tetapi disia-siakan dengan sepakan liar.
Grealish segera mengukuhkan kedudukan England apabila menghayun kaki kirinya -- juga dari sebelah kiri -- sebelum disempurnakan Kane dengan kepalanya untuk stadium sekali lagi bergegar dengan sorakan.