PENGENDALI Liverpool, Arne Slot, membuat penampilan pertama di Anfield dengan kemenangan hasil jaringan Luis Diaz dan Mohamed Salah untuk menewaskan Brentford 2-0.

Selepas meraih kemenangan dengan keputusan sama di Ipswich Town minggu lalu, Slot menyaksikan pasukannya mendominasi perlawanan semalam bagi meneruskan rentak kemenangan pada permulaan musim 2024-25.

Slot hanya perlu menunggu 13 minit untuk menghidupkan perlawanan pertamanya di laman sendiri - gerakan pantas Diogo Jota mengetuai serangan balas sebelum melakukan lorongan buat Diaz menyempurnakan jaringan dalam penampilan ke-100 bersama The Reds dengan penuh bergaya.

Liverpool terus mendominasi perlawanan dan kali ini Diaz bertindak sebagai perancang gol apabila menemui Salah untuk menggandakan kelebihan ketika perlawanan berbaki 20 minit.


Liverpool kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan bakal bertemu Manchester United dalam aksi ketiga liga sebelum rehat antarabangsa. - Stadium Astro