Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan e-sukan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran atau kokurikulum sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata perbincangan mendalam akan dilakukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dilakukan bagi melihat perkara ini secara menyeluruh.

"Saya dimaklumkan KBS sedang merancang dan menyediakan modul yang akan dibawa kepada kementerian kami. Kementerian Pendidikan terbuka untuk sebarang cadangan.

"Pada pandangan saya, sukatan pelajaran perlu menjadi sesuatu yang boleh diubah dan ditambahbaik mengikut perubahan masa," katanya ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran Battle Arena baru-baru ini, di sini.

Beliau berkata perbincangan bersama KBS itu juga akan membincangkan pendekatan yang lebih mudah mengenai e-sukan di peringkat sekolah iaitu sama ada sebagai sukatan pelajaran atau kokurikulum.

Kamalanathan berkata demikian ketika ditanya Astro AWANI mengenai pengenalan mata pelajaran e-sukan pertama di Indonesia di SMA 1 PKSD Jakarta pada beberapa bulan yang lalu.

Selain menjadikan e-sukan sebagaian salah sebuah subjek pelajaran, sekolah tersebut turut menyediakan program biasiswa bagi pelajar yang mahu ceburi bidang ini dengan lebih mendalam, lapor CNN Indonesia.


Kerajaan sokong industri E-Sukan

BACA: E-sukan: Malaysia tidak boleh ketinggalan - Khairy

Sementara itu Kamalanathan juga menggalakkan mana-mana sekolah yang mahu mewujudkan kelab e-sukan tersendiri.

"Mereka (sekolah) digalakkan ada kelab e-sukan tersendiri namun kami faham ada beberapa kekangan seperti wang dan sebagainya.

"Sekiranya ada ruang, mereka boleh memperkenalkan dan mempromosikan e-sukan tapi tertakluk dengan apa yang ada buat masa ini," tambahnya.

Jelasnya juga Kementerian Pendidikan memberi sokongan terhadap industri e-sukan.

"Gamification merupakan satu cara baru untuk kita mendidik. Contohnya, kerajaan sudah pun perkenalkan subjek pengekodan.

"Tidak ramai yang tahu ramai anak muda tempatan yang berbakat dan cemerlang di peringkat antarabangsa dalam bidang ini dan mereka lahir daripada sistem pendidikan Malaysia," tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan kerajaan akan terus menyokong sebarang usaha yang dapat membantu perkembangan industri e-sukan di negara ini.