Juara 2008, Vietnam menangguhkan hasrat Malaysia untuk menempah tiket awal ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 setelah mencatat kemenangan 2-0 pada aksi di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam ini.

Kemenangan kedua berturut-turut dilakar skuad Naga Emas itu menyaksikan mereka berkongsi enam mata dengan Myanmar selepas masing-masing beraksi dua perlawanan setakat ini, namun Myanmar menduduki tangga teratas Kumpulan A menerusi kelebihan jaringan.

Sebagai rekod, Malaysia turut mengutip enam mata dan berada di tempat ketiga selepas mencatat dua kemenangan, 1-0 ke atas Kemboja dan 3-1 ke atas Laos pada dua aksi awal Kumpulan A.


Beraksi di hadapan lebih 40,000 penyokong Vietnam malam ini, jelas tidak memberi sebarang kesan kepada skuad Harimau Malaya yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Vietnam, namun ketumpulan jentera serangan skuad negara menyaksikan mereka gagal menembusi kubu pasukan tuan rumah.

Nasib ternyata menyebelahi pasukan tuan rumah yang membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 perlawanan apabila Nguyen Cong Phuong bijak menyambar hantaran rakan sepasukan, sekali gus menggamatkan stadium yang dibanjiri penyokong tuan rumah.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara kembali menyusun jentera serangan namun gagal menembusi benteng pertahanan Vietnam dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Sebaik perlawanan bersambung, pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran termasuk menggantikan Mohamadou Sumareh dengan Muhammad Safawi Rasid bagi memburu gol pembukaan, namun tuah sekali lagi berpihak kepada tuan rumah yang meraih gol kedua menerusi sentuhan penyudah Nguyen Anh Duc pada minit ke-60.

Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan, namun keputusan tersebut kekal sehingga perlawanan tamat.

Dalam pada itu, Myanmar bangkit daripada ketinggalan sebelum mengatasi Laos 3-1 pada satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Nasional Laos.

Malaysia perlu mencatat kemenangan ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Nov ini, sekiranya berhasrat meneruskan saingan dalam kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

-- BERNAMA