Rafiq Ismail langsung tidak sangka boleh dapat kedudukan tangga empat teratas, apatah lagi muncul juara Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong Sabtu lalu.

Katanya, kemenangannya dalam acara perseorangan itu merupakan "detik terindah dalam hidupnya."

"Ia memang detik terindah dalam hidup saya, dan saya sendiri tidak sangka saya layak untuk berada di tangga empat teratas.

"Jutaan terima kasih kepada jurulatih saya, Holloway Cheah yang sentiasa membantu saya. Terima kasih juga kepada ibu bapa dan keluarga saya yang sentiasa menyokong saya, pingat ini untuk Malaysia," kata atlet 19 tahun itu ketika ditemubual wartawan selepas kemenangannya.

Tambahnya, dia mencuba sedaya upaya untuk memperoleh pingat tidak kira warna apa sekalipun dalam kejohanan berkenaan.

BACA: Pemain tenpin bowling negara Rafiq Ismail kini juara dunia

BACA: Boling Sukan Asia: Rafiq rangkul emas dengan sejarah tersendiri

BACA: Malaysia ceria dengan 68 emas, Shalin dan Rafiq cetus semangat


Rafiq mencipta sejarah apabila menjadi atlet negara yang pertama memenangi pingat emas dalam kejohanan itu selepas 39 tahun.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Kejohanan Boling Lelaki Dunia ialah pada 1979 menerusi acara trio yang diwakili Allan Hooi, Edward Lim dan J.B. Koo.

Ini kejuaraan Rafiq di peringkat tertinggi tahun ini selepas memenangi acara Masters Lelaki di Sukan Asia 2018 di Indonesia Ogos lalu.

Dalam acara itu, beliau menewaskan Dan MacLelland dari Kanada dengan mata 217-204 pada final.