Ronaldo telah mengalami pergolakan enam minggu di peringkat kelab dan antarabangsa, setelah dilepaskan Manchester United sebelum permulaan kejohanan di Qatar berikutan temu bual dengan Piers Morgan.
Selepas menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan menentang Ghana, Ronaldo kelihatan berang apabila dikeluarkan semasa perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan dan seterusnya diturunkan ke bangku simpanan untuk dua perlawanan berikutnya di peringkat kalah mati.
Goncalo Ramos dipilih sebagai pengganti dan menjaringkan hatrik, kemudian Ronaldo turun daripada bangku simpanan ketika tewas kepada Maghribi.
Dengan Ronaldo yang berusia 37 tahun kini sedang memburu kelab baharu, legenda Piala Dunia, Jerman Matthaus, mengakui dia tidak pasti siapa yang akan berusaha mendapatkan khidmatnya, memberikan penilaian buruk terhadap pemenang Ballon D'Or lima kali itu.
"Dengan egonya, Ronaldo telah merosakkan pasukan dan dirinya sendiri," kata Matthaus.
"Tidak dinafikan bahawa dia adalah pemain yang hebat dan penyudah yang sangat berbisa. Tetapi kini dia telah merosakkan legasinya.
"Saya sukar untuk berfikir bahawa dia boleh mencari tempat dalam pasukan lain. Saya agak kasihan dengan Ronaldo."
Ketika Ronaldo dan Portugal tersingkir di suku akhir, nasib Lionel Messi dan Argentina jauh berbeza -- meraikan kejayaan selepas kemenangan penentuan penalti dramatik menentang Perancis pada perlawanan akhir Ahad lalu.
Itu mengesahkan Messi sebagai 'pemain milenium' di mata pemenang Piala Dunia 1990, Matthaus, yang lebih menyindir Ronaldo.
“Ronaldo sudah tentu kegagalan terbesar Piala Dunia, bertentangan dengan Messi,” katanya.
"[Messi adalah] pemenang mutlak. Dia layak kerana dia telah memberikan saya dan semua peminat bola sepak kegembiraan yang hebat dengan kualitinya dan cara dia bermain selama 17-18 tahun.
"Bagi saya, Messi adalah pemain milenium." -- Stadium Astro