Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedang mengkaji langkah menangguhkan pusingan kedua kempen Kelayakan Bersama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 susulan kesan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

"FIFA dan AFC bertemu di Home of FIFA bagi membincangkan aktiviti sukan bola sepak di Asia.

"Bagi FIFA mahupun AFC, kesejahteraan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam perlawanan bola sepak kekal menjadi keutamaan tertinggi.

"Oleh itu, satu cadangan rasmi untuk menangguhkan perlawanan akan datang dalam kelayakan Piala Dunia FIFA Asia 2022 dan Piala Asia AFC 2023 akan dikongsi dengan anggota persatuan yang relevan," menurut FIFA dalam satu kenyataan pada Khamis.

FIFA dan AFC akan menyediakan kemas kini berhubung jadual perlawanan pada masa akan datang susulan perundingan yang dilakukan dengan persatuan yang menganggotai AFC, menurut kenyataan itu.

Harimau Malaya di bawah bimbingan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe akan beraksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac sebelum menjadi tuan rumah kepada Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac dalam kelayakan Kumpulan G.

Sementara itu, FIFA akan terus memantau situasi berkaitan COVID-19 dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), konfederasi dan anggota persatuan, menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA