PERINTAH kawalan pergerakan mungkin menghalang pemain Liverpool untuk berlatih seperti biasa, tetapi Joe Gomez berpendapat pengalaman itu sebenarnya telah mengeratkan lagi pasukan kendalian Jurgen Klopp berkenaan.

Pemain Liverpool kembali ke pangkalan latihan di Melwood buat pertama kalinya dua bulan minggu lalu untuk mengambil bahagian dalam sesi kumpulan kecil secara berperingkat.

Sebelum itu, barisan pemain pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan harus mengekalkan kecergasan di rumah masing-masing berikutan langkah-langkah kuarantin yang dilaksanakan oleh pemerintah di United Kingdom (UK) bagi mengekang penyebaran wabak novel koronavirus (COVID-19).

Video di media sosial memaparkan pemain The Reds sedang melakukan sesi berkumpulan, sehubungan itu Gomez berasakan ia merupakan satu pengalaman yang telah mengeratkan lagi hubungan mereka.

"Ya, saya rasa begitu kerana kami perlu berkomunikasi dengan cara yang berbeza; kami tidak dipaksa untuk saling berhubung setiap hari," jelasnya kepada laman sesawang Liverpool.

"Kami harus menghubungi seseorang itu dan kami melakukan secara sukarela. Ketika itulah kami saling mengenali dan semakin rapat kerana berdepan masa sukar yang perlu kami lalui bersama.

"Ia memberi manfaat dalam situasi itu. Sebagai sebuah pasukan, kami sangat rapat dan terus berkomunikasi.

"Saya rasa selepas melalui tempoh itu, peluang bersatu kembali minggu lalu menjadikannya lebih istimewa."


Skuad asuhan Klopp itu tidak beraksi sejak tewas 2-3 kepada Atletico Madrid di Anfield pada 11 Mac lalu sekali gus terkandas dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Begitupun, Gomez kagum dengan cara rakan sepasukannya dapat mengekalkan ketajaman mereka dalam tempoh kuarantin itu.

"Sebagai sebuah pasukan, selepas melihat keadaan pemain-pemain, semua orang nampaknya telah menjaga asas kecergasan masing-masing," katanya.

"Jelas sekali kami mempunyai program latihan yang ketat untuk kami dan semua orang mematuhinya.

"Jadi kami tidak terasa seperti perlu bermula dari peringkat awal.

"Berikutan mempunyai masa terluang yang ada, semua orang tetap bersemangat dan menikmati prosesnya."