Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe 'pening kepala' untuk menyenaraikan senarai akhir 23 pemain yang akan membawa cabaran negara dalam kempen Piala AFF Suzuki 2018 bermula 8 Nov ini.

Jurulatih yang berasal dari Kedah itu mengakui sukar untuk membuat pilihan bagi menentukan 23 pemain terbaik yang akan dibawa ke Phnom Penh untuk aksi pertama menentang Kemboja, apatah lagi bagi membarisi skuad 11 utama.

"Saya belum lagi muktamadkan senarai akhir pemain kerana agak sukar untuk gugurkan tiga pemain untuk menjadikan 23 pemain dan saya juga perlu melihat laporan perubatan tahap kecergasan setiap pemain," katanya pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia bertemu Maldives malam tadi.

Ketika ini seramai 26 pemain berada dalam kem latihan pasukan negara yang sedang dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan dwitahunan itu dan Cheng Hoe perlu menggugurkan tiga pemain sebelum berangkat ke Phnom Penh minggu hadapan.

Sementara itu, mengulas persembahan barisan pemainnya malam tadi, Cheng Hoe gembira dengan prestasi anak buahnya dan menyifatkan percaturan beliau menggandingkan pemain muda dengan pemain senior dilihat telah mula serasi.

"Saya cuba terapkan pemain kita untuk mulakan serangan dengan permainan dari bawah dan adakalanya kehilangan bola kerana diberi tekanan yang hebat pemain Maldives.

"Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dan semua pemain berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya dan saya kira skuad negara sudah bersedia untuk mengharungi cabaran dalam Piala AFF nanti," katanya.

Harimau Malaya melepasi ujian awal sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Maldives dalam perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Kemenangan tersebut sudah pasti menjadi tonik untuk skuad negara menjelang perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF menentang Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini.

-- BERNAMA