Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap prestasi cemerlang ditampilkan pasukannya pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste dapat diteruskan dalam saingan pusingan kedua bermula bulan depan.

Skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan besar agregat 12-2 ketika menyingkirkan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lepas dan akan berdepan Indonesia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua aksi pertama saingan Kumpulan G.

Bagaimanapun, skuad negara terlebih dahulu akan menguji kekuatan menentang pasukan di ranking ke-99 dunia, Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa Jumaat ini dan Cheng Hoe optimis ia medan terbaik buatnya dalam membentuk sebuah pasukan lebih mantap berbanding sebelum ini.

"Satu ujian yang baik apabila kita menentang Jordan kerana kita tahu mereka jauh lebih baik dari kita. Ia (menentang Jordan) bukan penentu tetapi saya harap pemain dapat belajar sesuatu berguna.

"Kalau boleh kita kena kekalkan momentum corak permainan yang kita sudah tampilkan sebelum ini. Saya pasti setiap kali pemain datang ke kem latihan ada memberi peningkatan dalam pasukan," katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, pada Ahad.

Aksi Malaysia dan Jordan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum skuad negara berlepas ke Jakarta berdepan Indonesia pada 5 Sept dan melayani kunjungan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept.

Pada masa sama, seramai 27 pemain yang disenaraikan Cheng Hoe untuk mengikuti kem latihan kebangsaan hadir melaporkan diri meskipun terdapat beberapa pemain terlibat dengan aksi Piala Malaysia minggu ini.

"Masih terdapat beberapa pemain yang keletihan selepas aksi Piala Malaysia minggu ini dan pasukan akan memantau mereka. Saya harap mereka dipanggil ini dapat wujudkan satu suasana seperti keluarga kerana kita ada misi untuk membuat sesuatu buat negara," tambah Cheng Hoe.

-- BERNAMA