Kemenangan keenam berturut-turut skuad Harimau Selatan itu bermula dengan jaringan Heberty Fernandes melalui ketajaman kaki kirinya setelah merembat masuk ke gawang TFC pada minit ketujuh sebelum Bergson menggandakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-32.
Pemain pertahanan TFC Ubaidullah Shamsul dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Fitri Maskon sejurus semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan penalti yang diberikan.
Bergson terus mempamerkan ketajamannya apabila menyumbat gol ketiga JDT selepas menanduk hantaran cantik Juan Muniz pada minit ke-64 sebelum pemain dari Brazil itu melengkapkan hatrik pada masa kecederaan babak kedua sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Terengganu musim ini.
Tiga mata dikutip JDT membolehkan mereka terus menerajui saingan dengan mengumpul 18 mata, dibezakan lapan mata dengan Sabah di tempat kedua.
Di ALOR SETAR, hasrat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk meraih kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Kuching City FC di Stadium Darul Aman.
Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, skuad Sang Kenari akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi penyudah Mohd Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-60.
Namun, Kuching City dihadiahkan sepakan penalti di lewat permainan selepas Kipre Tchetche dijatuhkan sebelum Jordan Mintah tenang menyempurnakan jaringan penyamaan sekali gus menghampakan kira-kira 4,000 penyokong setia tuan rumah.
Di KOTA BHARU, Perak FC meraih kemenangan kedua liga dengan menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 pada aksi yang tertangguh kira-kira 30 minit disebabkan hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Pasukan pelawat mendahului 1-0 di separuh masa pertama hasil gol Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-43 sebelum kapten Luciano Guaycochea menyumbat dua gol masing-masing menerusi penalti pada minit ke-57 dan jaringan ketiga Perak pada minit ke-79.
KDN FC memperoleh gol sagu hati hasil penyudah pemain gantian Muhammad Syahir Ab Rashid pada minit ke-85, namun ia tidak cukup untuk membangkitkan semangat pasukan yang akhirnya terpaksa akur tewas di laman sendiri.
Perak kemudian terpaksa bertahan dengan 10 pemain selepas Guaycochea diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada masa tambahan separuh masa kedua.
-- BERNAMA