KARIM Benzema memuji kualiti yang dimiliki Zinedine Zidane sebagai seorang jurulatih dan insan selepas pengendali itu memilih untuk meninggalkan Real Madrid buat kali kedua.

Zidane diumumkan akan meninggalkan tugasnya di Santiago Bernabeu pada Jumaat lalu selepas Madrid gagal memenangi sebarang trofi musim ini.

Bagaimanapun, Zidane membawa pasukan itu memenangi gelaran LaLiga musim 2019-20 dan Benzema, bercakap ketika menjalankan tugas antarabangsa selepas dipanggil semula secara mengejut, memandang tinggi pengendali berusia 48 tahun itu.

"Dia seorang jurulatih yang hebat, daripada segi insaniah, dia seorang yang amat sempurna.

"Bagi saya, dia luar biasa. Saya kecewa kerana dia akan meninggalkan Real tetapi begitulah keadaannya. Hidup perlu diteruskan," katanya.


Madrid menamatkan musim lalu dengan rekod 18 perlawanan tanpa kalah (13 kemenangan dan lima seri) dalam LaLiga - rekod perlawanan tanpa kalah terpanjang berbanding pasukan lain dalam kejohanan itu dan rekod terbaik mereka sejak yang dilakukan bersama Ancelotti pada Mac 2014 (15 kemenangan dan tiga seri).

Benzema terlibat dengan 32 gol dalam LaLiga musim ini (23 gol dan sembilan bantuan jaringan) dan mengatasi rekod terbaik yang dilakukannya dalam musim 2015-16 (24 gol dan tujuh bantuan jaringan).

Prestasi itu menyaksikan Benzema dipanggil semula skuad kendalian Didier Deshamps, Perancis, menjelang Euro 2020 bulan depan -- bermula dengan perlawanan menentang Jerman pada 15 Jun ini.

Penyerang itu tidak pernah dipanggil sejak 2015 tetapi kini bersedia untuk kembali ke pentas antarabangsa dan tidak sabar untuk bergandingan dengan Kylian Mbappe.

Ditanya tentang perkembangan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu berbanding pemain terbaik dunia yang lain, Benzema berkata: "Saya tidak mahu membanding-bandingkan tetapi dia seorang pemain muda, satu fenomena.

"Saya dapat berlatih bersamanya, kami bermain satu sentuhan, terdapat beberapa pergerakan, dia memang laju, berkemahiran. Dia pemain yang amat-amat bagus."