Kemasukan penjaga gol gantian Belanda, Tim Krul berjaya menyelamatkan dua gol pada sepakan penalti tersebut, seterusnya memberikan kemenangan kepada pasukan Oranje itu.
Masa penuh permainan perlawanan suku akhir di antara kedua pasukan sebelum itu menyaksikan pertembungan sengit membuatkan mereka terikat 0-0.
Sebagai pasukan ‘underdog’, Costa Rica dilihat tidak banyak menguasai bola mahupun membuat asakan.
Bagaimanapun ketangkasan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas telah banyak membantu menyelamatkan pintu gol mereka dari dibolosi pihak lawan.
Belanda memperoleh beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Minit ke-21 menyaksikan dua cubaan oleh Belanda iaitu Robin Van Persie dan Wesley Sneijder berjaya diselamatkan oleh Navas.
Selang beberapa minit kemudian, Van Persie sekali lagi membuat cubaan, tetapi sekali lagi diselamatkan oleh Navas.
Sepakan percuma Sneijder pada minit ke-38 turut berjaya dihalang oleh penjaga gol tangkas itu.
Pemain Costa Rica Johnny Acousta menolah pemain Belanda Jeremain Lens semasa perlawanan mereka di Arena Fonte Nova di Salvador, Brazil. -AP Photo/Natacha Pisarenko
Pada separuh masa kedua, minit ke-82, Belanda menerusi Van Persie membuat satu lagi percubaan baik, namun dapat dihalang lagi oleh Navas.
Bagi Costa Rica pula, mereka tidak memperoleh peluang untuk melakukan cubaan yang benar-benar berbahaya.
Permainan kemudian masuk ke masa tambahan, tetapi tiada gol yang dapat dijaringkan oleh kedua-dua pasukan.
Kedudukan tersebut membawa ke sepakan penentuan penalti.
Gol-gol penalti pasukan Belanda dijaringkan oleh Van Persie, Arjen Robben, Sneijder dan Dirk Kuyt.
Manakala bagi Costa Rica, gol-gol mereka dijaringkan oleh Celso Borges, Gonzalez dan Bolanos.
Keputusan akhir perlawanan ialah Belanda 0(4)-0(3) Costa Rica. Belanda akan bertemu Argentina dalam perlawanan separuh akhir nanti.