KUALA LUMPUR : Bekas pemain dan jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk M. Kuppan meninggal dunia hari ini pada jam 5.30 petang di ibu negara. 

Mendiang dilaporkan menghidapi osteoarthritis dan berusia 84 tahun.

Memetik laporan sebuah portal media, pengebumian mendiang akan dilakukan di tempat kelahirannya di Pulau Pinang pada Jumaat ini.

Mendiang Kuppan sebelum ini telah beberapa kali menjulang piala kemenangan dalam sukan tersebut.

Antaranya Piala Malaysia pada 1957 ketika mewakili pasukan Pulau Pinang selain menjulang Piala Merdeka dalam tahun yang sama.

Mendiang bersama pasukan kebangsaan selama lapan tahun sehingga tahun 1965 selain tampil dalam 10 musim perlawanan bersama pasukan Pulau Pinang.

Mendiang mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya sebagai atlet kebangsaan pada 1967.

Bagaimanapun mendiang kemudiannya beralih menjadi jurulatih kebangsaan dari tahun 1972 hingga 1978.

Pasukan negara yang dibawah kendaliannya ketika tempoh itu pernah dua kali menjulang piala Raja Thailand iaitu pada 1975 dan 1976. Ini termasuk Piala Merdeka pada tahun 1976.

Beliau antara lain berjaya membawa pulang Piala Malaysia kali keempat buat pasukan tanah kelahirannya, Pulau Pinang.