NILAI: Ketua Jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, ternyata kagum dengan prestasi gandingan tiga pelumba muda, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah.

Ini selepas ketiga-tiga pelumba tersebut mempamerkan pretasi membanggakan bagi memenangi pingat gangsa acara pecut berpasukan elit lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 yang sedang berlangsung di Velodrom Nasional di sini, Rabu, manakala Jepun dan China masing-masing menang pingat emas dan perak.

Mengulas mengenai prestasi yang membanggakan ini, jurulatih warga Australia berkata pelumba muda diketuai Muhammad Fadhil telah menunjukkan keupayaan dan mencerahkan harapan untuk menyaingi negara-negara Asia lain di Sukan Asia Hangzhou dari 23 Sept hingga 8 Okt.

"Kita menampilkan barisan baharu dan menduduki di tempat ketiga di Asia, manakala China dan Jepun merupakan kelapan terbaik di dunia. Kita perlu untuk terus melatih mereka, terus memperbaiki mereka, dan mereka akan menduduki tempat terbaik pada masa akan datang," katanya kepada media di sini.

Beasley berkata selain mahu memberikan peluang kepada pelumba muda, jika beliau membariskan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom untuk acara pecut berpasukan Sukan Asia, ia akan memenatkan dua pelumba berkenaan kerana jadual yang ketat.

"Kami tidak boleh meletakkan Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus di Sukan Asia (pecut berpasukan) sebab pertandingan hanya empat hari, pecut dan keirin pada dua hari terakhir. Jika kami letakkan skuad A (Azizulhasni dan Shah Firdaus), mereka akan kepenatan sebelum hari terakhir, jadi bagus untuk bangunkan pelumba muda, peluang untuk mereka meningkat juga.

"Fadil kini berada pada tahap terbaiknya, manakala Umar, 20, merupakan yang paling muda dalam skuad senior, berada dalam tahun kedua pasukan. Mereka memerlukan masa untuk pembangunan dan meningkat, selepas menjalani dua tahun dalam COVID-19 tanpa sebarang peluang."

Beasley berkata Ridwan Sahrom, 22, pula yang merupakan adik kepada Shah Firdaus, kini sedang meningkat dan merupakan seorang atlet yang berkualiti dari segi fizikal dan mental.

-- BERNAMA