KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia untuk melakar sejarah tersendiri dengan menghantar wakil dalam acara sukan tari (breakdance) pada Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sasaran itu dibuat selepas melihat potensi besar dimiliki atlet breakdance negara dan beliau percaya Malaysia mempunyai ramai bakat muda dalam sukan itu.

Menurutnya, beliau juga berharap sukan itu satu hari nanti mampu menjadi sandaran pingat buat negara, sekali gus mengurangkan beban atlet badminton, basikal dan terjun.

“Sekarang Malaysia banyak bergantung kepada sukan berbasikal, terjun untuk mencari pingat. Harapan saya pada Olimpik nanti, kita ada sukan baharu yang menghantar wakil.

“Jadi, bila kita nak harapkan pingat, fokus dan beban tidak terletak kepada beberapa atlet sahaja, tapi kita ada bakat lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Malaysia Biggest Street Dance Competition Battleground Malaysia-Road to Gold pada Rabu.

Program tersebut diadakan bagi mencapai objektif KBS dalam menyediakan rancangan realiti televisyen berbentuk pertandingan tarian jalanan (street dance) yang memberi peluang penyertaan anak muda di seluruh negara untuk menyerlahkan bakat mereka.

Ia juga memaksimumkan reach out program KBS di pelbagai platform yang menggabungkan elemen sukan, tarian dan hiburan di samping menyemarakkan sokongan rakyat Malaysia terhadap kempen emas pertama negara.

Tambah beliau, dengan kerjasama Astro menerusi Battleground Malaysia: Road to Gold, kementerian komited untuk membantu para penari dan mencungkil ramai lagi bakat yang boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa.

"KBS berharap agar Battleground Malaysia: Road to Gold akan menjadi platform untuk mencungkil bakat belia Malaysia, memperkasakan mereka menerusi peluang, mentor dan latihan yang diberikan oleh ahli profesional yang berkaliber.

"Ia juga disertai dengan aspirasi untuk memupuk generasi baharu atlet Malaysia yang akan bersinar di pentas dunia," katanya.



Program Battleground Malaysia turut membawa Kempen Road To Gold melalui penyertaan Malaysia dalam Temasya Sukan Olimpik Paris ke XXXIII pada 2024, dengan mengetengahkan mesej sokongan seluruh rakyat Malaysia dalam misi mendapatkan emas pertama negara.

Di samping itu, Battleground Malaysia juga boleh menjadi satu rancangan tontonan bersama ahli keluarga untuk bersama-sama menzahirkan sokongan kepada peserta yang bertanding, dan seterusnya mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana, konsep pertandingan menekankan syarat penyertaan peserta yang perlu disertai daripada pelbagai kaum dan mewakili pelbagai negeri.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kementerian sentiasa memberi sokongan kepada bintang sukan tari negara, Sam Jee Lek atau Lego Sam untuk terus menempa kejayaan di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Lego Sam merupakan antara atlet breakdance negara yang menyinar di pentas antarabangsa termasuk memenangi emas dalam Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Saksikan pertandingan sukan tarian ‘street dance’ terbesar di Malaysia, Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (Saluran 104), Vinmeen (Saluran 202) dan SHOWCASE (Saluran 413) setiap Jumaat, 10 malam mulai 29 September.

Saksikan jua di Astro AEC (Saluran 306) setiap Sabtu 11 malam mulai 30 September.