DERBY COUNTY 1 MAN UTD 2

Jaringan Facundo Pellistri cukup mustahak buat Manchester United untuk memulakan persiapan pra-musim mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan kendalian Wayne Rooney, Derby County, malam tadi.

Rooney mengisi jawatan berkenaan bagi menggantikan Phillip Cocu sejak November lalu dan menghadapi bekas kelabnya buat pertama kalinya sebagai pengurus.

Bagaimanapun, The Red Devils meletakkan barisan kedua berikutan masih ramai pemain belum kembali melaporkan diri daripada Kejohanan Euro 2020 dan Copa America, selain beberapa nama lagi yang akan tampil dalam Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikan Ole Gunnar Solskjaer kehilangan 16 pemain.

Sehubungan itu, Tom Heaton ditugaskan untuk mengawal gawang selepas kembali ke pangkuan kelab dan dia menyelamatkan satu percubaan berbahaya di penghujung cuaca terik separuh masa pertama.

Begitupun, United berhasil memecah kebuntuan selepas rehat menerusi jaringan Tahith Chong -- yang akan dipinjamkan ke saingan seteru Derby dalam kancah Liga Kejuaraan, Birmingham City -- menghukum benteng lawan sebelum melakukan rembatan dari jarak dekat selepas percubaan awalnya dipatahkan.


Solskjaer membuat sembilan pertukaran selepas rehat dengan Axel Tuanzebe dan Teden Mengi menjadi pemain yang dikekalkan sepanjang permainan.

Jesse Lingard, Andreas Pereira, Nemanja Matic, Lee Grant dan Alex Telles pula antara yang dikeluarkan demi memberi laluan kepada pemain muda.

Langkah itu memberi kelebihan apabila dua pemain meningkat naik bergabung untuk meletakkan United semakin selesa dengan kedudukan 2-0.


Shola Shoretire -- yang menjadi pemain termuda United di peringkat Eropah pada Februari lalu -- membuat hantaran lolos yang memerangkap pertahanan sebelum Pellistri mengatasi penjaga gawang lawan.

Colin Kazim-Richards kemudian menyumbat gol sagu hati buat Derby dari jarak jauh tetapi keputusan kekal untuk United bermula positif dalam persiapan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL).