BEREGU nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Sukan Asia Hangzhou susulan berjaya menyingkirkan wakil Taiwan, Lu Ching-yau-Yang Po-han, sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-14 dunia, Aaron-Wooi Yik, mempamerkan permulaan yang memberangsangkan susulan berjaya mendahului permainan 14-13.

Namun Taiwan berjaya mengejar permainan dengan menggunakan kelebihan di atas kesilapan pemain negara untuk merampas set pertama 23-21 yang penuh mendebarkan.

Aaron-Wooi Yik, yang hadir ke Hangzhou dengan kemenangan ke atas juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Kang Min-hyuk dalam aksi perseorangan, dalam situasi terdesak untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, cuba menghadirkan permainan yang agresif di awal set kedua.

Mendahului 11-5, memberikan momentum buat beregu negara itu terus cemerlang sebelum mengutip mata demi mata sebelum memenangi set kedua 21-12.

Perlawanan seimbang di antara kedua-dua regu yang saling mengutip mata demi mata sepanjang set ketiga, sehingga mereka terikat 21-21, sebelum Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan 23-21 untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, turut memperoleh kemenangan di pusingan pertama ke atas wakil Pakistan, Ghazala Saddique 21-10, 21-4.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro