ASTON VILLA 2 ARSENAL 4

Gol sendiri daripada Emiliano Martinez dalam masa kecederaan menjadi pemisah ketika Arsenal mempamerkan dua kebangkitan sebelum menewaskan Aston Villa 4-2 dan kembali mencerahkan harapan mereka merebut Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Gunners -- yang dipintas selepas tumbang kepada Manchester City pada pertengahan minggu ini -- kelihatan seakan-akan menuju satu lagi keputusan mengecewakan di Villa Park dalam perlawanan liga keempat berturut-turut sebelum mengubah nasib mereka di hujung perlawanan, malam tadi.

Penyudah klinikal Ollie Watkins meletakkan Villa dalam penguasaan sebaik wisel ditiup, dan biarpun Bukayo Saka menyamakan kedudukan tidak lama kemudian, pelawat kembali di belakang pada waktu rehat hasil jaringan Philippe Coutinho menerusi gerakan berpasukan yang menarik.

Tetapi rembatan padu Oleksandr Zinchecko sekali lagi menyamakan kedudukan buat anak buah Mikel Arteta itu, namun usaha Martinez melayangkan badan ketika cuba menepis percubaan Jorginho dari kotak penalti akhirnya memakan diri.

Rembatan deras pemain yang baru dibeli daripada Chelsea tersebut singgah ke palang sebelum melantun ke kepalanya dan bergolek masuk ke dalam gawangnya sendiri.

Gabriel Martinelli kemudian mencetak namanya selaku penjaring selepas Martinez meninggalkan kubunya dalam situasi sepakan penjuru dan pemain gantian Arsenal itu meluru deras ke arah pintu gol yang sudah ternganga untuk menyudahkan lariannya dari depan kotak penalti sendiri.