KUALA LUMPUR: Pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Hanapi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21), yang diadakan secara maya, malam ini.

Kejayaan hari ini membolehkan pemain sayap berusia 19 tahun itu melakar sejarah selaku pemain paling muda memenangi gelaran MVP selepas rakan sepasukannya Safawi Rasid memenanginya ketika berusia 21 tahun pada 2018.

Arif Aiman, pemain lincah yang berjaya mencetak tiga gol dan tiga bantuan gol dengan 31 penampilan pada musim ini, turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik pada ABK kali ini.

Arif Aiman memainkan peranan utama dalam membantu skuad Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super kelapan dan Piala Sumbangsih, selain muncul naib juara Piala Malaysia, selepas tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC pada Selasa lepas.

Bercakap selepas diumumkan sebagai pemenang MVP, Arif Aiman yang kini berada di Singapura bersama skuad Harimau Malaya untuk saingan Piala AFF berkata, kejayaan itu tidak dapat dikecapi tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya.

"Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional. Terima kasih saya ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana sentiasa menjadi tulang belakang.

"Terima kasih juga kepada jurulatih Benjamin Mora dan barisan kejurulatihannya kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan tahun ini, rakan sepasukan dan pemain-pemain senior lain serta semua penyokong saya," katanya menerusi klip video ketika siaran langsung ABK21.

Pemenang Anugerah MVP, diumumkan oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan.

JDT sekali lagi menguasai ABK, apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017, manakala Farizal Marlias membawa pulang anugerah Penjaga Gol Terbaik yang keenamnya selepas kejayaan 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Penyudah import JDT dari Brazil, Bergson da Silva pula meraih anugerah Kasut Emas selepas meledak 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, dengan JDT diangkat sebagai Pasukan Terbaik.

KL City yang mencipta sensasi muncul juara Piala Malaysia pada ulang tahun ke-100 pertandingan itu, turut cemerlang apabila Bojan Hodak memenangi gelaran Jurulatih Terbaik, selain Romel Morales yang digelar 'Colombian hitman' pula mengungguli kategori Pemain Import Terbaik selepas meledak 10 gol pada kempen Piala Malaysia kali ini.

ABK21 turut menyaksikan bekas kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC Baddrol Bakhtiar menggondol dua anugerah, Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dengan tujuh jaringan, manakala penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier selepas meledak sembilan gol.

Penjaring Terbanyak Liga Super menjadi milik penyerang Selangor FC Ifedayo Olusegun yang meledak 26 gol sepanjang musim ini manakala Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) yang masing-masing mencetak 16 gol dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Premier.

Skuad Projek FAM-MSN yang membuat penampilan pertama di Liga Premier, diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fair Play.



Berikut adalah keputusan Fan XI yang diundi oleh penyokong:



Jurulatih: Nafuzi Zain (Terengganu)

Penjaga Gol: Kevin Ray Mendoza (KL City)

Pertahanan Kanan: Rizal Ghazali (KDA)

Pertahanan Tengah: Renan Alves (KDA)

Pertahanan Tengah: Ariffadzilah Abu Bakar (Terengganu)

Pertahanan Kiri: La'vere Corbin-Ong (JDT)

Tengah: Zhafri Yahya (KL City)

Tengah: Baddrol Bakhtiar (KDA)

Tengah: Leandro Velazquez (JDT)

Sayap Kanan: Arif Aiman Hanapi (JDT)

Penyerang: Bergson Da Silva (JDT)

Sayap Kiri: Gonzalo Cabrera (JDT)



-- BERNAMA