KAPTEN Argentina, Lionel Messi, telah diketepikan daripada skuad yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) pada hari Isnin untuk kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan menentang Chile dan Colombia bulan depan.

Messi yang berusia 37 tahun tidak termasuk dalam skuad 28 pemain itu selepas mengalami kecederaan buku lali semasa perlawanan akhir Copa America bulan lalu di Amerika Syarikat.

Pemain Inter Miami itu kini sedang menjalani pemulihan di kelabnya.

Penjaga gol River Plate, Franco Armani, juga tidak disenaraikan dalam skuad, selain penyerang Angel Di Maria yang mengumumkan persaraannya daripada pasukan kebangsaan selepas Copa America.

Jurulatih Lionel Scaloni telah memanggil pemain tengah Ezequiel Fernandez dan penyerang Valentin Castellanos buat kali pertama, bersama-sama pemain muda yang mempunyai sedikit penampilan antarabangsa termasuk Alejandro Garnacho, Valentin Carboni, Valentin Barco dan Matias Soule.

Argentina akan menentang Chile di Stadium Monumental di Buenos Aires pada 5 September sebelum menghadapi Colombia lima hari kemudian di Barranquilla. - Agensi