Jaringan Higuain yang mula membakar semangat skuad Argentina terhasil apabila pemain berjersi nombor 9 itu garang merembat masuk bola hasil hantaran Angel Di Maria tepat ke kiri gawang Belgium.
Argentina yang kali terakhir mara ke separuh akhir pada tahun 1990 menggandakan serangan dengan serangan balas Belgium yang bertali arus namun perlahan.
Pemain yang menjaringkan gol kemenangan skuad La Albeceleste di pusingan kalah mati menentang Switzerland, Di Maria bagaimanapun terpaksa dikeluarkan Alejandro Sabella setelah mengalami kecederaan paha, dengan digantikan pemain berjersi 8, Enzo Perez.
Pemain Argentina, Lionel Messi dikawal rapi pemain Belgium, Marouane Fellaini (kiri) dan Daniel Van Buyten (kanan). - AFP PHOTO / EVARISTO SA
Sepanjang babak pertama, bintang Argentina, Lionel Messi dikawal ketat oleh barisan pertahanan Belgium. Beberapa hantaran cantik dilakukan Messi dalam usaha menambahkan jaringan, namun buntu tanpa penyudah yang berkesan.Messi berpeluang menambah jaringan setelah diberikan sepakan percuma dari luar kotak penalti ekoran dikasari Marouane Fellaini namun mensia-siakan peluang tersebut dengan sepakan melepasi tinggi ke atas kanan jaring.
Babak pertama berkesudahan dengan Argentina mendahului Belgium 1-0.
Masuk aksi separuh masa kedua, Belgium masih gagal mencari ruang menerjah gol Argentina. Fellaini mula mempamerkan permainan garang apabila acapkali dilihat melakukan percubaan atau hantaran untuk jaring.
25 minit sebelum berakhirnya perlawanan, Belgium mula bermain agresif dengan asakan demi asakan untuk cuba mencari gol penyamaan.
Ketiadaan Di Maria jelas mengurangkan ketajaman serangan dan penyudah di depan gawang Belgium termasuk peluang gol kedua yang disia-siakan Higuain.
Gonzalo Higuain (kanan) meraikan jaringannya bersama Angel Di Maria (kiri) sekaligus menjadi gol tunggal dan kemenangan Argentina untuk mara ke separuh akhir. - AFP PHOTO / MARTIN BUREAU
Dengan lima minit masa kecederaan yang diberikan, Belgium masih gagal mencari sebarang gol sekaligus mengizinkan Argentina untuk mara ke separuh akhir bola sepak Piala Dunia 2014 dengan keputusan kekal 1-0, kemenangan kepada Argentina.
'Senarai pemain'
Argentina: Sergio Romero (PG), Ezequiel Garay, Pablo Zabaleta, Lucas Biglia, Angel Di Maria (Enzo PĂ©rez 33), Gonzalo Higuain (Fernando Gago 81), Lionel Messi (k), Javier Mascherano, Martin Demichelis, Ezequiel Lavezzi (Rodrigo Palacio 71) dan Jose Basanta.
Belgium: Thibaut Courtois (PG), Toby Alderweireld, Vincent Kompany (k), Jan Vertonghen, Axel Witsel, Kevin De Bruyne, Marouane Fellaini, Eden Hazard (Nacer Chadli 75), Kevin Mirallas (Dries Mertens 60), Daniel Van Buyten dan Divock Origi (Romelu Lukaku 59).