MING-CHI KUO, penganalisis popular melibatkan Apple, kini hadir dengan ramalan baharu, menyasarkan Apple akan memulakan pengeluaran AirPods dengan kamera terbina menjelang 2026 kelak.

Desas-desus berkenaan AirPods dengan kamera telah kedengaran sejak beberapa bulan sebelum ini, dan ramalan baharu ini dilihat selari dengannya.

Mengikut laporan awal, ia dikatakan akan diintegrasikan bersama penggunaan Vision Pro – sekali gus memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna ketika memakai set kepala tersebut. 

Di samping itu, penyertaan kamera inframerah ini juga dijangka akan menambah baik kadar pendengaran dengan mengambil kira persekitaran pengguna.

Terdapat juga kemungkinan integrasi kecerdasan buatan yang membolehkan pengguna menggunakannya bersama, sambil kamera pada AirPods mengenal pasti persekitaran pengguna dalam memberikan maklum balas.

Atau mungkin juga Apple melihat kepada beberapa sokongan kesihatan melalui integrasi ini.

Buat masa ini, laporan berkaitan AirPods dengan kamera inframerah ini masih pada peringkat awal, dan sama-sama kita nantikan apakah kemungkinan yang bakal dibawakan olehnya kelak. -Amanz