Timbalan Chef de Mission Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 itu dalam kenyataan di laman sosialnya, menzahirkan kata-kata semangat dan penghargaan buat dua pemain profesional negara itu yang telah berjuang berhabis-habisan untuk mengharumkan nama Malaysia.
Bekas pemain skuasy nombor satu dunia itu menambah, beliau memahami betapa sakitnya rasa kekalahan.
Tetapi menurut Nicol, regu wanita yang menghuni ranking ke-13 dunia itu menunjukkan semangat kesukanan yang sangat tinggi.
"Saya melihatnya dalam mata anda ketika perlawanan berakhir, dan saya mengenali perasaan pilu itu. Ia adalah kesakitan yang sukar untuk dilepaskan.
"Ketika perlawanan berakhir, anda berdua melintasi gelanggang dan memeluk lawan anda dengan kasih sayang dan kebaikan. Tindakan itu sangat bermakna—ia penuh dengan keagungan, kerendahan hati, serta keindahan.
"Di saat paling 'gelap', anda menunjukkan apa itu semangat kesukanan yang sebenar, dan saat itu akan sentiasa mendefinisikan (siapa) anda.
"Anda berdua adalah legenda kerana telah menunjukkan kepada Malaysia dan dunia mengenai nilai-nilai yang anda miliki, dan saya sangat berbangga," katanya dalam entri tersebut pada Ahad.
Juara dunia skuasy lapan kali itu turut berterima kasih kepada Pearly-Thinaah kerana membawa begitu banyak kebahagiaan sepanjang menonton perlawanan mereka pada minggu ini.
"Saya sayang anda berdua, dan saya harap kita boleh menangis bersama, ketawa bersama, dan mengingati ini sebagai kemenangan yang akan kekal dalam hati dan ingatan kita selamanya," ujar Nicol lagi.
Berkongsi lanjut, Nicol berkata walaupun menduduki tempat keempat, Pearly-Thinaah telah melakar sejarah tersendiri sebagai pasangan wanita pertama yang melangkah ke separuh akhir Olimpik.
Malah, pasangan itu juga memberi tentangan sengit kepada pasangan dari China yang menduduki ranking pertama dunia.
"Perjalanan ini telah menjadi sangat indah dan menakjubkan. Selama dua tahun terakhir, anda berdua telah melalui banyak cabaran, dan anda telah menjadi Olimpian yang menginspirasi seluruh negara.
"Ramai mungkin tidak menyedari betapa sukarnya untuk bermain pada tahap yang anda tunjukkan minggu ini.
"Beberapa minggu yang lalu, anda berdua sedang bergelut dengan kecederaan, sakit, dan kekecewaan. Apa yang saya kagumi tentang anda berdua adalah bagaimana anda saling menyokong dan mempercayai antara satu sama lain," kata Nicol.
Pearly-Thinaah terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa selepas tunduk di tangan gandingan nombor empat dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-11, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, malam tadi.
Pearly-Thinaah muncul beregu wanita pertama Malaysia melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik.