KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia antara Palestin dan Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 Sept depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai hasil perbincangan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama-sama Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) baru-baru ini.

PFA sebelum ini mencari venue sesuai dijadikan gelanggang neutral atau gelanggang sendiri mereka bagi aksi kedua Kumpulan B, pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober lepas.

"Selepas perbincangan, kata sepakat telah dicapai antara FAM dan PFA dengan Datuk Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA bersetuju menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dipilih," kata FAM.

FAM dalam masa sama menyifatkan ia satu penghormatan cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

FAM dalam pada itu akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin itu berada di negara ini.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi venue neutral bagi aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Okt 2017.

Palestin melakar sejarah apabila berjaya menempah slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7 Jun lepas.

Pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Palestin diundi berada dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, Iraq, Oman dan Kuwait selain Jordan.

Kejayaan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 itu juga sekali gus menyaksikan Palestin yang dibimbing Makram Daboud layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

-- BERNAMA