Ahmad Shapawi ketika dihubungi Bernama hari ini, mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pencalonannya dicadangkan oleh ahli gabungan MPM iaitu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Kanu Malaysia (PKM).
"Saya bertanding untuk jawatan Presiden MPM sebagai satu pasukan sebab ada permintaan daripada ahli gabungan yang merestui hasrat ini.
"Saya juga mahu melakukan perubahan dalam kepimpinan MPM itu sendiri," katanya.
Ahmad Shapawi dikaitkan dengan perebutan kerusi panas Presiden MPM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 14 Dis ini.
Penyandang Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dijangka bertanding untuk mengekalkan jawatannya.
Sementara itu, Ahmad Shapawi yang pernah berkhidmat dengan agensi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 1998 berkata antara misinya sebagai Presiden MPM adalah untuk menyusun semula tadbir urus supaya dapat dilihat sebagai satu pasukan dengan berpegang kepada asas digariskan melalui Gerakan Paralimpik Negara (GPN).
Pada masa sama, Ahmad Shapawi berkata hubungan antara MPM dan pemegang taruh utama iaitu KBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu diperkukuhkan melalui pelaksanaan program ke arah pembangunan atlet para negara.
"Kita juga akan memainkan peranan lebih aggresif dalam hubungan antarabangsa khususnya di peringkat Asia Tenggara apatah lagi kita adalah penggerak utama sukan Para di peringkat ASEAN semasa penubuhannya Persekutuan Sukan Paralimpik ASEAN (APSF) malah peringkat Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) sebelum ini.
"Kita juga akan meningkatkan hubungan lebih baik dengan badan sukan lain khususnya Majlis Olimpik Malaysia untuk kita mempelajari kaedah dan tindakan Piagam Olimpik yang telah digerakkan oleh mereka selama ini," katanya.
-- BERNAMA