Setiausaha Agong ESM, Rinie Ramli berkata kes tersebut mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana ia melibatkan jumlah yang wang tunai besar.
"Kami sudah pun mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur. Kami sedang menunggu keputusan mahkamah yang dijangka dapat diketahui pada tahun hadapan.
"Pada masa itu, kami akan berkongsikan informasi terkini kepada semua," katanya dalam satu sidang media di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya pada Isnin.
E-sukan: Menteri akan teliti isu AGES
Rinie berkata demikan ketika ditanya pemberita berhubung perkembangan terkini kontroversi kejohanan AGES berkenaan yang berlangsung pada dua tahun lepas.
Namun beliau tidak memberikan butiran penuh mengenai kes mahkamah tersebut.
Kejohanan AGES itu menawarkan hadiah wang terkumpul RM1 juta namun setiap pemenang pertandingan itu masih belum menerima sebarang hadiah wang tunai sehingga hari ini.
Antara pemenang kejohanan tersebut termasuk pemain profesional e-sukan, Nur Amirul ‘AmTuah’ Afandi yang sebelum ini turut meluahkan bahawa dia masih belum menerima hadiah RM34,000 yang dimenanginya menerusi pertandingan FIFA.
“Saya mewakili Malaysia dalam kejohanan AGES dan menjadi johan Asia Tenggara. Sepatutnya saya membawa pulang RM34,400, tetapi sehingga hari ini masih tidak dapat lagi wang kemenangan itu.
“Walaupun kejohanan ini disokong oleh badan kerajaan yang menguruskan hal-hal e-sukan Malaysia tetapi saya kecewa," kata AmTuah dalam laporan Astro AWANI sebelum ini.
BACA: 'Pro gamer' mahu badan disiplin ditubuhkan, jamin kebajikan atlet
Sementara itu, turut hadir dalam sidang media yang sama adalah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan hasrat untuk meneliti isu AGES itu.
"Saya akan melihat perkara ini," jawab ringkas Syed Saddiq.
AGES 2016 merupakan satu kejohanan antarabangsa peringkat Asia Tenggara yang disokong ESM dan Kementerian Belia dan Sukan pada ketika itu dan dianjurkan Platinum Eden Sdn Bhd.