DOHA:
Tahun 2022, Qatar kembali catat kegemilangan dengan penganjuran Piala Dunia FIFA. Ia cerminan acara penuh naratif dan drama.

Penganjurannya penuh kontroversi, kerana kali pertama edisi Piala Dunia dianjurkan di sebuah negara Islam.

Qatar bukanlah tuan rumah pilihan pada asalnya. Namun, ia menang bidaan sebagai hos pada Disember 2010. Sejak itu, pembikinan infrastruktur, termasuk fasiliti sukan, stadium dan hotel berlangsung selama 12 tahun.

Sebahagiannya diharungi ketika berdepan sekatan ekonomi daripada negara-negara Teluk sejak Jun 2017.

Sepanjang tempoh itu juga, Qatar berdepan kritikan berkaitan dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan layanan buruk terhadap pekerja migran.

Tetapi, dengan semua ribut ini, Qatar disifatkan berjaya menjadi tuan rumah edisi Piala Dunia yang paling signifikan, diingati.
 
Qarar membelanjakan AS$220 bilion untuk penganjuran Piala Dunia yang dianggap paling berjaya dalam sejarah

Presiden FIFA, Gianni Infantino melabel edisi Piala Dunia Qatar sebagai paling cemerlang, unik dan satu penanda aras baharu, dengan kejayaan menyatupadukan pelbagai negara serta budaya atas nama sukan bola sepak.

Begitupun, ia hadir dengan tanda harga tersendiri. Sebanyak AS$220 bilion dibelanjakan untuk Piala Dunia, yakni yang termahal pernah dicatat dalam sejarah.

Sepanjang 28 hari aksi berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember, 3.4 juta penonton direkodkan, dengan jumlah pengunjung ke negara itu catat angka 1.4 juta orang.

Imej cemerlang tuan rumah ini diteruskan dengan kesinambungan penganjuran acara sukan lain.

Qatar East to West Ultra Run (QEW), adalah antara acara utama dalam kalender larian di Asia Barat.

QEW dianjurkan Qatar Sports For All Federation (QSFA), mengumpulkan peserta dari seluruh dunia.

Pada 2021, sejumlah 650 atlet dari 59 negara menyertainya.

QEW lazimnya diadakan pada Disember. Bagaimanapun, penganjuran Piala Dunia 2022 pada bulan sama, menyebabkan tarikhnya dianjakkan ke Januari 2023.

Dengan jarak 90 kilometer, QEW merentasi laluan timur ke barat Qatar, dan melepasi beberapa mercu tanda utama negara itu. Antaranya Menara Westbay, Qatar National Convention Centre (QNCC), Qatar Foundation, Education City Stadium dan Zikreet. Larian ini berakhir di hujung Qatar, yakni di Pantai Dukhan.

Larian merentasi lima sektor atau kawasan. Peserta dilepaskan bermula dari Sheraton Park, dan memasuki sektor pertama dengan jarak 10.7 kilometer di QNCC, sektor kedua dari Al-Shahaniya sejauh 22.5 kilometer, sektor ketiga pula Al Nasraniya dengan jarak 14.9 kilometer.

Ini diikuti dengan sektor keempat dari Al-Owaina dan sektor kelima di Cuban Hospital, masing-masing dengan jarak 14.3 kilometer dan 14.6 kilometer. Larian kemudian tamat di Pantai Dukhan.
Laluan larian QEW sepanjang 90km dari Sheraton Park ke Pantai Dukhan


Pelari dari Malaysia dinaungi Malaysian Association of Qatar (MAQ) membentuk tiga pasukan utama. D’Chung Runners  yang diwakili Aliff Asyraf Ibrahim, Wan Mohamad Zakir Wan Othman, Nik Mohd Najib Nik Wan, Mohd Herman Muhamad, Raja Shah Reza Raja Amiruddin dan Ammar Hassan Fakhoury (pelari Jerman).

Sementara pasukan kedua, Piung Runners diwakili  Mohammad Hisham Kamaruddin, Mohamad Salman Mohamed Ali, Ruslan Abu Bakar, Azlan Sehu Morshidi dan Mohd Radzzi Ramly.

Pasukan pelari wanita, Turtle Legs, diwakili Noraini Aliash, Nur Hannah Rachel, Norjuliani Yassin, dan Linda Chandra Dewi dari Indonesia.

Yusry Jusoh dan Tatiana Abdullah pula menyertai acara solo 90 kilometer lelaki dan wanita.

Seorang lagi pelari wanita Malaysia, Aslinda Ibrahim menyertai pasukan campuran pelbagai negara bersama pelari Sepanyol dan Mesir.

Pelari Malaysia di Qatar East to West Ultra Run 2022 / Gambar Marlina Manaf


Tahun ini QEW datang dengan pakej cuaca berbeza.

Ketika penganjuran QEW tahun lalu, cuaca Doha dilaporkan panas, namun kali ini, peralihan musim menyaksikan cuaca sejuk.

Peserta berdepan suhu antara 14 ke 16 darjah selsius. Ini ditambah dengan keadaan  hujan lebat dan angin kencang di sesetengah kawasan.

Ada juga beberapa sektor larian dilanda banjir kesan hujan tanpa henti, hingga menyebabkan laluan off road berlumpur.
 
Pelari solo 90km Malaysia, Yusry Jusoh merentasi laluan dengan landskap padang pasir

Pelari Piung Runners, Radzzi Ramly meredah hujan dalam sektor empat (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Pelari D’Chung Runners, Alif Asyraf meredah laluan off road (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Paling mencabar bagi pelari di sektor keempat dari Al-Owaina. Pelari menempuh hujan lebat dan angin kencang sepanjang laluan 14.3 kilometer sebelum transisi pelari ke sektor kelima iaitu dari Cuban Hospital.

Pelari D’Chung Runners, Mohd Herman menempuh laluan sektor keempat dalam hujan lebat dan angin kencang. (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Proses transisi pelari dari satu sektor ke sektor seterusnya (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Cuaca hanya menyebelahi peserta ketika larian memasuki sektor kelima. Laluan landai dan lurus dengan sedikit anjakan, disinari cahaya matahari.

Pelari D’Chung Runners, Wan Mohamad Zakir meredah laluan sektor terakhir dalam sinar matahari. (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Pasukan acara relay 90km dengan peserta kurang upaya (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Di sebalik cuaca sedikit luar jangka, semua pelari Malaysia berjaya menamatkan larian di sektor masing-masing.

Pasukan Turtle Legs gandingan tiga pelari Malaysia dan seorang pelari Indonesia melepasi garisan penamat dalam hujan lebat  - Gambar  Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar

Peserta Malaysia, bersama rakan sepasukan dari Mesir dan Sepanyol

Tatiana Abdullah menamatkan larian solo 90km di kedudukan ketiga (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Wakil wanita Tatiana pula berjaya menduduki tempat ketiga bagi kategori solo wanita 90 km.

“Larian hari ini sangat mencabar mental, kerana sejuk,  hujan lebat dan angin kuat, ini larian paling ekstrem sepanjang pengalaman saya. Alhamdulillah, syukur, saya berjaya menamatkan larian,” ujar Tatiana, yang juga naib juara Borneo Ultra Trail Marathon 106km pada 2019.

Pelari Piung Runners, Mohammad Hisham Kamaruddin  pula menyifatkan QEW sebagai satu pengalaman yang berbeza dan mengujakan. Tahun lalu, acara QEW berlangsung dalam keadaan cuaca panas dengan suhu mencecah 35 darjah selsius.

“Cuaca ekstrem bukan halangan, kami tetap akan sertai acara ini biar apa pun dugaannya, kami hanya mahu berlari dan menikmati keindahan sepanjang laluan East to West, terutama sekali di sektor terakhir, ketika menuju ke penamat di Pantai Dukhan,” ujarnya yang akan mengulangi penyertaan untuk tahun depan.

Isteri Mohammad Hisham, Noraini Aliash, turut menamatkan acara larian berpasukan bersama tiga lagi pelari Turtle Legs, Bersama seorang pelari dari Indonesia.

“Paling penting, jangan beri tekanan kepada diri sendiri, kami tetap menyokong satu sama lain, sepanjang larian, walaupun cuaca di luar jangka. Larian sangat mencabar terutama sekali apabila berdepan banjir,” jelas Noraishah yang turut mengakui, tidak akan serik berlari dalam keadaan cuaca sebegini.

Pelari Piung Runners, Mohammad Hisham Kamaruddin bersama isteri, Noraini Aliash dari pasukan Turtle Legs

Jadi, apa yang ada dengan Qatar East to West Ultra Run 2022? 

Saya terbang ke Doha atas jemputan rakan, sekali gus untuk memberi sokongan moral kepadanya yang  kali pertama menyertai QEW.

Keputusan dibuat saat akhir tanpa sebarang persiapan.

Namun syukur, setibanya di sini, pasukan pelari Malaysia bermurah hati menerima dan mengalu-alukan saya untuk turut berkhidmat bersama-sama sebagai pasukan sokongan pelari sepanjang acara berlangsung.

Saya akui pengalamannya jauh berbeza, kerana ini kali pertama saya menyaksikan pelari ditemani pasukan sokongan menaiki kenderaan masing-masing. Kereta sokongan pula bukan calang-calang, segala jenis jenama mewah, umpama pameran kereta.
 
Kereta pasukan sokongan (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Kereta pasukan sokongan mengiringi pelari sepanjang larian (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Sepanjang larian, pasukan ini melaungkan kata semangat dan sentiasa bertanya apa keperluan pelari, sama ada air, makanan atau lain-lain. Ini mungkin kaedah yang boleh mengurangkan tekanan pelari yang berdepan pelbagai cabaran sepanjang laluan mereka.

Dua stesen air dan makanan (water station) yang sempat saya singgah pula menawarkan bekalan tanpa had, lokasinya di tengah-tengah padang pasir.

Agak lucu kerana ketika mula-mula tiba terdetik di dalam hati, “betul-betul lain macam cara orang Qatar menganjurkan larian”.
 
Khaima atau khemah water/food station di tengah-tengah padang pasir (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Dengan segala gambaran dan tulisan ini satu yang boleh diakui, pelari ultra kental kudrat dan mentalnya terutama yang menghabiskan larian 90 km secara solo.

Kudrat saya belum sampai ke tahap mereka.  Kategori larian saya hanya santai-santai hujung minggu sekadar jarak 5 ke 10 kilometer ikut keadaan. Itupun kalau larian bermula lewat, jarak dipendekkan kerana tidak tahan panas matahari.

Seperti mana Piala Dunia Qatar, QEW ini juga sebahagian sukan yang menyatukan semua, tanpa mengira kaum, agama, pangkat dan pegangan politik. 

Tersentuh hati dan bangga menyaksikan komuniti kecil pelari Malaysia di Qatar memberi sokongan padu tanpa berbelah bahagi kepada semua yang menyertai QEW. Indah rasa bagai berada di tanah air.

Ini permulaan tahun 2023 yang baik untuk saya, kerana bertemu ramai individu berjiwa besar di tanah asing.

Sekali lagi diucapkan tahniah kepada semua pelari yang dinaungi oleh Malaysian Association of Qatar.

Peserta Malaysia yang berjaya menamatkan larian (Gambar: Marlina Manaf)

Peserta Malaysia yang berjaya menamatkan larian (Gambar: (Gambar: Wan Ahmad Tajuddin/ Malaysian Association of Qatar)

Peserta Malaysia yang berjaya menamatkan larian (Gambar: (Gambar: Marlina Manaf)

Peserta Malaysia yang berjaya menamatkan larian (Gambar:  Marlina Manaf)


* Marlina Manaf ialah Editor dan Penerbit AWANI Pagi.

** Penulis berada di Doha, Qatar baru-baru ini atas jemputan sekali gus untuk memberi sokongan moral kepada rakannya yang kali pertama menyertai Qatar East to West Ultra Run 2022.