Ahli Umno diminta mamahami istilah peremajaan parti yang dilaung pemimpin tertinggi semasa ucapan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.
Pembahas dari Pahang, Mohd. Shahrir Abdullah menjelaskan, ungkapan itu dilihat lebih kepada unsur-unsur meremajakan ahli, cara berfikir, penerimaan idea baru dan mengubah cara kerja secara konvensional.
"Ungkapan peremajaan Umno perlu difahami ahli parti. Saya setuju dan sahabat-sahabat di bawah pun setuju tetapi pada pengamatan saya, pemahaman saya, bukan menukar kepimpinan yang ada seluruhnya dengan anak-anak muda kerana mereka belum pernah merasai pahit getir perjuangan dan sepak terajang politik.
"Kita mahu anak muda sebagai pelapis pemimpin tempat kita tetapi perlu melalui satu proses pembelajaran. Jangan cepat melatah. Kepada anak muda, belajar dan terus belajar kerana memimpin ini ada seninya adik-adik," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Umno di sini hari ini.
Jelasnya lagi, ahli-ahli juga perlu sentiasa bersedia untuk menerima idea-idea baru dan menukar cara kerja konvensional yang memualkan anak-anak muda.
"Peremajaan bermaksud melahirkan pemimpin muda yang dinamik, berkarisma. Bersesuaian dengan anak muda hari ini.
Isu sama dibangkit pembahas usul dari Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Mohd. Said yang mahu parti menunjukkan realiti serta kesungguhan dalam isu peremajaan.
"Peremajaan bukan dari segi faktor usia semata-mata tapi buktikan kemampuan kita. Umno perlu kembali untuk menjenamakannya semula dengn melahirkan pemimpin asli, kembali garis dasar-dasarnya dan sentiasa perjuangan berada pada landasan yang sebenar," katanya.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilapor mahu golongan muda diberi peluang menyertai barisan kepimpinan Umno untuk menjayakan proses peremajaan parti.
Najib menjelaskan, golongan itu juga perlu diberi panduan dan bimbingan untuk memimpin supaya Umno dilihat sebagai sebuah parti yang inklusif, moden, progresif serta dinamik.