SELESAI proses penamaan calon hari ini, tiga calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanding merebut kerusi parlimen P119 Titiwangsa.

Sebagai wartawan, saya merakamkan warna-warni proses tersebut terutama membandingkannya dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Parlimen Titiwangsa

Sebagai pengundi berdaftar P119, saya teruja dengan tiga lambang dominan yang menyerikan jalan-jalan hinggalah ke lorong-lorong perumahan di sekitar Sekolah Aminudin Baki (SAB).

Kerancakan amalan demokrasi ini tentunya membuka mata dan sepatutnya merangsang keinginan untuk menunaikan amalan murni mengundi bagi memilih calon yang terbaik bagi mewakili nasib, aspirasi dan kemajuan masyarakat setempat dan nasional.

Ini bukan kali pertama saya menyaksikan kerancakan penamaan calon. Namun kali ini jelas terasa dinamika yang berbeza.

Lima tahun lalu, hanya perlu berada di jalanraya di hadapan sekolah dan anda dapat menyaksikan semua parti dan pihak yang terbabit.

Dulu, di hujung sebelah stesen minyak Petronas jelas lautan warna biru Barisan Nasional (BN).

Sementara di sebelah Kompleks Sukan Kg. Pandan pula gabungan Pakatan Rakyat dengan dominasi warnas hijau Pas dan biru muda PKR berkibaran.

Dulu pilihan hanya dua, biru tua atau hijau.

Kini kerana pertembungan tiga penjuru, berada di hadapan SAB saja tidak memberi gambaran keseluruhan lagi kerana hanya kelihatan warna hijau di hujung sana dan biru muda di hujung sini.

Biru tua beralih ke lokasi lebih ke belakang SAB di Taman Maluri.

Biarpun agak ke dalam, namun gah BN jelas terkedepan.

Ribuan penyokong degan bendera dan logo biru tua meriuhkan suasana dari Taman Maluri hingga ke SAB.

Jentera BN di sini menganggarkan 5,000 ahli-ahli mereka menyahut seruan berkumpul sehingga melampaui jumlah yang disasarkan.

Parlimen Titiwangsa

Pas yang pernah memenangi kerusi ini pada 2008, berkumpul di simpang Jalan Perwira dan Jalan Kg. Pandan.

Di mata kasar saya ratusan penyokong-penyokong mereka menghijaukan suasana.

Titiwangsa

Seperti tradisinya, ucapan yang disahut laungan takbir menjadi tumpuan perkumpulan Pas di sini dengan suasana yang mesra kepada semua termasuk kanak-kanak dan mereka yang kurang upaya.

Keakraban jentera Pas nampak kukuh dan bersemangat.

Malaysia Memilih

Beralih ke gabungan baru Pakatan Harapan di tempat lama BN berhimpun berhampiran stesen Petronas.
Seperti PAS di sini juga ratusan penyokong berkumpul namun kehadirannya lebih majmuk dan siap dengan pentas dan pidato-pidato pemula tempoh rasmi berkempen.

Namun juara meriah dan ramai hari ini di Titiwangsa memanglah BN.

Persoalannya ialah sama ada ini akan turut diterjemahkan kepada undi.

Yang tersurat dan tersirat lebih rencam daripada hanya perkumpulan penyokong.

Seperti coklat yang cantik berbungkus tidak menentukan rasanya. Rasanya pula belum tentu menepati citarasa setiap insan.

Di kerusi yang beza kemenangan lalu hanyalah 866 undi, ini persoalan yang memberi maksud setiap undi kali ini tentunya lebih meriah lagi untuk diraih.

Sebagai wartawan ini memberikan saya petunjuk fokus editorial. Sebagai pengundi ini memberikan saya iltizam lebih tinggi untuk meraikan tanggungjawab demokrasi dengan mengundi.

Menu terhidang dengan tiga citarasa.

BN diwakili buat kedua kalinya oleh penyandang kerusi ini Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pas diwakili calon tiga kali untuk kerusi ini, Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

PKR pula diwakili calon kali pertama di kerusi ini Ketua Wanita PPBM, Rina Harun.

Jadi 1, 2 atau 3, pilihan jelas tersedia.

Titiwangsa letaknya begitu strategik di Kuala Lumpur.

Kerusi bandar yang ketara infrastruktur pembangunan modennya namun turut mengandungi kelompok bawah 40 dan menengah 40 yang dihimpit arus pembangunan.

Yang pasti kita sebagai pengundi berdaftar yang memastikan siapa yang terbaik mewakili aspirasi dan nasib kita di masa depan.

Jom undi.