KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi penjelasan berkenaan peningkatan kes harian baharu dan kematian COVID-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu ingin mengetahui punca lonjakan jangkitan meskipun kadar vaksinasi kebangsaan mencapai 44.5 peratus populasi.

"Jika dibandingkan Malaysia dengan negara-negara seperti Perancis, Sepanyol, Itali dan Jerman, negara-negara tersebut kini mencatatkan kadar kes harian baharu dan kes kematian akibat wabak itu lebih rendah sejajar dengan peningkatan kadar pemberian vaksin.

"Malah, United Kingdom juga telah berjaya menurunkan kadar kematian meskipun mencatatkan kes harian baharu COVID-19 yang tinggi.

"Khairy juga perlu menjelaskan mengapa untuk enam hari berturut-turut, Malaysia merekodkan kes harian baharu COVID-19 lebih tinggi berbanding Indonesia dan Filipina, meskipun kedua-dua negara untuk mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kit Siang pada masa sama mempersoal bilakah Khairy akan mengumumkan dasar baharu yang berlandaskan data dan sains, selain menerapkan pendekatan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan negara” yang melibatkan mobilasi seluruh rakyat Malaysia.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diarah menggunakan bekalan vaksin COVID-19 sedia ada dalam negara dan tidak menunggu sehingga tempahan vaksin tertentu tiba.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ia bagi memastikan urusan dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada rakyat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.