KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) tidak boleh semata-mata bergantung kepada kelemahan pesaing politik gabungan itu, sebaliknya membina kekuatan sendiri jika mahu mengekalkan mandat pentadbiran dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia bergantung kepada jangka masa dan sejauh mana masa yang ada itu digunakan untuk menggelakkan pergeseran ataupun ketidaksefahaman di dalam gabungan itu.

"Tempoh tersebut perlu digunakan untuk memperkuatkan lagi gabungan besar tanpa menjejaskan reputasi dan kredibiliti masing-masing.

"Itu penting kerana kita sedar pada masa yang sama pesaing politik juga akan melakukan perubahan dari segi usaha sama kerjasama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Sivamurugan memberitahu, PRU-15 pastinya akan memberi satu petunjuk kepada sejauh mana penjajaran politik yang dilakukan PN diterima menerusi sokongan undian ataupun mungkin akan ada penjajaran baharu berdasarkan kepada pentafsiran ke atas kedudukan politik semasa.

"Kesemua ini bergantung kepada gaya dan bentuk kepimpinan yang mampu ditunjukkan oleh semua pemimpin di dalam PN, dan bukan bergantung kepada tunjang yang menerajuinya iaitu Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Sebaliknya pemimpin-pemimpin lain juga harus boleh  memastikan wujudnya kesepaduan sesama mereka sekiranya mahu terus mengekalkan mandat dalam PRU nanti," tambahnya.

Beliau memberitahu, dalam proses pembinaan PN, untuk memantapkan gabungan itu, parti-parti lain dibawa masuk untuk melebar serta mengukuhkannya agar beberapa pemimpin turut menyertai dan membolehkan angka PN itu membesar.

"Namun demikian ketika PRU-15, sudah pasti yang mahu dilihat adalah sejauh mana ia mampu untuk melakukan pengukuhan berterusan dalam PN," ujarnya.

Justeru, beliau berpendapat, kerjasama perlu dihebatkan dengan kelompok yang ada di Sabah dan Sarawak kerana itu juga boleh memutuskan keputusan PRU-15 kelak.

Pada masa yang sama, kata beliau, PN juga harus memperluaskan kerjasama dengan rakan strategi mereka seperti pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti lain bagi memastikan proses pengukuhan gabungan itu mencapai pelbagai kumpulan sasar untuk mendapat sokongan.