Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beri jaminan parti itu tidak akan bergabung dengan mana-mana parti lain, sama ada dari Pakatan Harapan atau Gagasan Pembangkang semata-mata untuk mendapat kembali kuasa.

Ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden bagi Perhimpunan Agung UMNO ke-72 malam ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kepimpinan parti akan terus komited mengukuhkan kembali parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya dalam tempoh lima tahun ini.

“Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk MENANG DAN KEMBALI BERKUASA.

“INILAH HALA TUJU KITA! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah,” katanya ketika berucap di hadapan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

BACA: UMNO ambil tindakan undang-undang wakil rakyat keluar parti

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun ahli UMNO harus menyedari mereka kini adalah pembangkang, dan kerjasama dengan parti pembangkang lain perlu ada selagi mana prinsip UMNO tidak tergadai.

“Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional.

“Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta'awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri,” jelasnya lagi.

Dalam perhimpunan itu, buat julung kalinya PAS menghantar delegasi, diketuai Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai jemputan khas.

Barisan ketua sayap mereka juga turut hadir mengikuti Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri yang berlangsung awal hari ini.