"Umpama kita terkena penyakit, pembedahan dan penggunaan ubat yang paling ekstrem itu yang akan menyelamatkan situasi.
"Penghidap kencing manis, jika tidak dipotong kakinya, keadaannya akan lebih parah."
Begitulah perumpamaan yang diberikan penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali apabila merujuk kemelut yang dihadapi UMNO pada hari ini.
Tegas beliau, UMNO perlu mengadakan perhimpunan agung khas dan pemilihan semula jawatan presiden parti untuk mengembalikan keyakinan ahli di pelbagai peringkat.
“Dalam situasi sekarang, pemimpin-pemimpin di akar umbi dan peringkat pertengahan tidak menghormati kepimpinan UMNO pusat.
"Kes pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini adalah mustahil untuk diselesaikan dalam masa satu penggal.
“UMNO Sabah contohnya lumpuh apabila hampir semua kepimpinan di negeri itu meninggalkan UMNO, risiko yang sama boleh berlaku di negeri lain."
“UMNO seharusnya kembali semula pada titik awal iaitu adakan semula Perhimpunan Agung Khas untuk bincangkan semula, bentuk semua pemilihan kepimpinan baharu.
"Ini adalah satu cara yang ektrem, tetapi ini mampu membawa sinar baharu kepada UMNO yang kian melemah.”
“Presiden UMNO juga mengakui bahawa dalam UMNO pada hari ini banyak blok-blok politik yang sudah berpecah. Ramai ahli UMNO sendiri contohnya tidak bersetuju apabila UMNO menjalinkan kerjasama dengan PAS.”
Menurut Dr Mazlan, sekiranya UMNO tidak dipulihkan sepenuhnya sebelum pilihan raya umum ke-15, orang Melayu termasuk ahli UMNO sendiri akan mencari ‘tempat perlindungan’ yang lain.
Dalam konteks itu, PAS akan lebih dominan dan jauh meninggalkan UMNO dalam perjuangan politik orang Melayu, katanya lagi.
BACA: UMNO runtuh, Pas perlu ke depan perjuang agenda Melayu Islam - Takiyuddin
Ahmad Zahid pada 18 Disember memberikan kepercayaan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
Tindakan ini menurut Ahmad Zahid selaras dengan harapan parti yang mahu bangkit dan menamatkan polemik kepimpinan.
BACA : Bahtera UMNO lebih besar daripada mana-mana individu - Tengku Putra
BACA : The UMNO exodus: Its implications