Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) mampu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pada masa sama, beliau sedia turun padang semasa kempen pilihan raya bulan depan bagi membantu jentera BN.

"Barisan Nasional perlu bekerja keras. Kita harap dia (calon PRK) boleh menang. InsyaAllah saya akan bantu nanti," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi IKIM bercakap kepada media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2015 dan Anugerah Pekerja Setia 2016 kepada 17 kakitangan IKIM.

Ditanya kemungkinan berlaku lebih daripada pertandingan dua penjuru pada dua PRK berkenaan, ini jawapan beliau: "Jangan bimbang, kita akan bekerja keras (untuk menang)."

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala, penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, korban nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.