Tindakan bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Junaidi Abdul Rahman menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak memberi kesan kepada kepimpinan dan hala tuju UMNO bahagian itu.

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Hamdain Diego berkata, ini memandang, Junaidi telah lama meninggalkan dan meletakkan jawatan itu sejak Februari 2016.

Menurutnya, selepas mengambil keputusan itu, jawatan Junaidi telah diambil alih oleh Bahrul Razha Chuprat selaku Ketua Penerangan UMNO bahagian.

“(Penyertaan) Ia tidak memberi sebarang kesan kepada UMNO kerana dia (Junaidi) sudah lama meninggalkan UMNO Kota Kinabalu dari tahun 2016 lagi.

“Apa yang penting, hala tuju dan usaha kita memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang di Parlimen Kota Kinabalu akan diteruskan,” katanya.

BACA: 150 ahli UMNO Sepanggar sertai Warisan

Mengenai Manifesto BN yang dilancarkan baru-baru ini, Faisyal menyifatkan segmen khusus kepada Sabah dan Sarawak yang begitu terperinci berupaya mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan membangunkan kedua-dua negeri ini.

“Manifesto itu mempunyai visi jangka panjang dengan pengisian sempurna dan komprehensif, membawa rakyat melintasi sasaran sebagai negara maju pada 2020,” ujarnya.



Daftar pemilih Parlimen 172 Kota Kinabalu berjumlah 56,703 orang, Dun N. 14 Likas 15,153 pemilih, Dun N.15 Api Api 19,303 dan Dun N.16 Luyang 21,852 dan Parlimen Kota Kinabalu mempunyai 21 pusat daerah mengundi.