Keputusan PAS untuk tidak menyokong usul penolakan Bajet 2016, menzahirkan pendirian bahawa parti Islam itu mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), lapor The Malaysian Insider hari ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau kesal dengan tindakan PAS menolak usul terbabit yang sekaligus dilihat pembangkang sebagai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, turut mengatakan parti Islam itu telah jauh tersasar daripada kenyataan mereka sebelum ini telah menyatakan kesesiaan untuk bersama parti pembangkang.

"Biar rakyat yang menilai mengenai keputusan PAS, bukan sahaja rakyat Malaysia namun penyokong mereka.

"Dahulu undi PAS adalah merupakan alternatif buat kita namun sekarang mereka tunjukkan mereka ingin bersama BN," katanya seperti yang dipetik portal berita itu.

Lim berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Biasa Negeri Selangor DAP, 2015 di Petaling Jaya pada Ahad.

Sementara itu dalam teks ucapan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pada konvensyen tersebut, beliau telah melontarkan pertanyaan kepada hadirin sama ada mahu memilih parti yang telah kukuh yang kemudiannya menikam dari belakang ataupun sebaliknya.

"Saya nak tanya kepada wakil-wakil yang hadir hari ini, adakah kita nak pilih bersepakat dengan sebuah parti yang berintegriti walaupun kecil buat masa ini.

"Ataupun dengan sebuah parti yang lebih 'established' tapi yang boleh tikam belakang bila-bila masa? Saudara-saudari sekalian, nak pilih Amanah atau nak pilih PAS?" ujarnya.

Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu telah mengambil langkah berkecuali daripada parti pembangkang lain untuk menolak usul Bajet 2016 yang dibentangkan Najib selaku Menteri Kewangan pada 23 Oktober lalu.

Beliau turut menegaskan bahawa kesemua ahli Parlimen PAS sebulat suara telah bersetuju dengan keputusan penolakan usul tersebut.