Demikian pendapat Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Zaini Othman kepada Astro AWANI berhubung naratif kerjasama suasana politik terkini.
“Semuanya harus berbalik kepada kepentingan rakyat. Kalau dulu lawan, sekarang kawan malah anggota Parlimen duduk sangat dalam Dewan Rakyat.
“Segala persoalan atau perkara yang nak dibahaskan mesti perkara yang terkait dengan kepentingan rakyat yang diwakili di kawasan masing-masing. Konteks ini kena difahamkan di peringkat ahli parlimen dan rakyat,” katanya pada Isnin.
Beliau turut menyifatkan penyatuan dalam kerajaan baharu adalah simbolik bagi melupakan sejarah silam masing-masing.
Zaini juga menekankan tatakelola yang sering disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentukan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Payung konsep tatakelola yang baik termasuklah konteks perbahasan, perdebatan dan kupasan dengan isu-isu yang terkait dengan kesejahteraan rakyat.
“Malah apa jua kupasan isu yang dibincangkan harus terkait dengan falsafah demokrasi.
“Secara asasnya, sebagai ahli parlimen mereka harus faham kalau parlimen itu tempatnya apa, tempat untuk bercakap mengenai hal-hal yang berkait dengan kesejahteraan rakyat. Ini akan menjadi point of departure kepada proses move on,” katanya.