Syed Badli Shah Syed Osman dinasihat berhenti dari mengeluarkan komen-komen kosong dan dengkel kononnya dia amat arif mengenai urusan dalaman UMNO Titiwangsa.

Setiausaha UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Azizul Rahman Mohd Hussain Malim menegaskan, Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu bukanlah seorang ahli UMNO dan lebih banyak komen yang dibuat membuktikannya hanya tahu cakap kosong semata-mata.

"Kenyataan Syed Badli yang menuduh bahawa terdapat suatu perpecahan di dalam UMNO Titiwangsa adalah sangat tidak tepat dan jelas bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

"Sebagai anak jati Kampung Baru serta tinggal di sini, saya ingin menegaskankan bahawa keseluruhan UMNO Titiwangsa hari ini menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa.

"UMNO Titiwangsa tetap teguh bersatu di bawah kepimpinan Johari. Malah kesemua parti komponen BN turut menyokong penuh kepimpinan beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Johari lemah kerana gagal selesaikan isu Kampung Baru - AMK

BACA:
Pembangkang fitnah Johari Ghani, mengapa suruh saya diam?

BACA: Pembangkang cuba 'cah keting' kerusi Johari di Titiwangsa - Syed Ali

Sebelum ini, seuah portal menyiarkan kenyataan Syed Badli yang menyatakan perpecahan UMNO Titiwangsa kerana perebutan kerusi.

Jelas Azizul yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Syed Badli mungkin mengaku sebagai seorang anak Kampung Baru tetapi tidak tinggal di lokasi berkenaan.

"Saya dan sebahagian besar pucuk pimpinan UMNO Titiwangsa sememangnya tinggal dan menetap di kawasan Kampung Baru dan amat mengenali serta memahami situasi dan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar Kampung Baru, Datuk Keramat dan Kampung Pandan.

"Syed Badli hanya muncul bila sudah dekat dengan pilihanraya dan cuba berlagak sebagai hero memperjuangkan nasib penduduk Kampung Baru walhal sebelum ini tidak pernah kelihatan langsung.

"Hal ehwal dan masalah pembangunan di Kampung Baru yang cuba dipersalahkan oleh Syed Badli sebelum ini menonjolkan kedangkalannya sendiri dan jelas menunjukkan bahawa dia tidak faham situasi sebenar Kampung Baru," ujarnya.

Kata Azizul lagi, segala bentuk pembangunan hartanah di Kampung Baru adalah di bawah bidang kuasa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan PKB.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, Johari telah berjaya memastikan kepentingan hak milik hartanah di Kampung Baru kekal di bawah pegangan orang-orang Melayu.

"Tanah Kampung Baru bukan tanah setinggan yang boleh dibangunkan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh dibangunkan sekiranya tidak mendapat persetujuan perwaris pewaris tanah.

"Malah, penduduk Kampung Baru sendiri tahu bahawa mereka boleh berjumpa dengan Johari pada bila-bila masa untuk bantuan dan nasihat beliau mengenai hal-hal pemilikan dan pembangunan hartanah mereka dan usaha gigih Johari sendiri," katanya.

Katanya lagi, sejak menjadi wakil rakyat, Johari bersama Lembaga Pentadbiran Pertanian Penempatan (MAS) Kampung Baru serta PKB telah menyelesaikan semua isu pemilikan tanah Kampung Baru yang berjumlah 1,355 lot dan baki 36 lot lagi masih dalam proses pengeluaran geran.

Dalam isu parkir pula, Azizul menjelaskan, Syed Badli cuba untuk menjadi juara hanya kerana berjaya memberikan gambaran kepada tahap pemahamannya sendiri yang amat cetek.

"Masalah parkir di sepanjang Jalan Raja Muda Musa sebenarnya hanya boleh selesai dengan kerjasama pemilik-pemilik hartanah sepanjang jalan itu yang sanggup dan setuju untuk menjual atau memberi sewaan jangka panjang kepada pihak PKB atau DBKL untuk dibina parkir bertingkat di situ.

"Selagi kerjasama ini tidak dapat diperolehi dari pemilik-pemilik hartanah tersebut, selagi itulah penduduk sekitar Jalan Raja Muda Musa akan berdepan dengan masalah parkir ini apabila ramai pengunjung mengunjungi Kampung Baru kerana keunikan kedai-kedai makanan Melayu.

"Syed Badli perlulah faham dan cuba dapatkan pandangan dan maklumat yang sahih dari pihak PKB dan MAS sebelum hendak berlagak sebagai hero Kampung Baru.

"Saya berharap agar Syed Badli dipilih menjadi calon pilihanraya akan datang untuk melihat kekuatan sokongannya oleh penduduk Kampung Baru," katanya.