Perhimpunan Agung UMNO perlu memberi tumpuan pada manifesto pilihanraya Barisan Nasional yang telah dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 6 April 2013 yang lalu.

Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Mohd Salleh Said Keruak berkata melalui tulisan beliau di blog sskeruak.blogspot.com, UMNO seharusnya melakukan post mortem mengenai janji-janji yang telah ditunaikan dan berapa banyak lagi yang perlu dilakukan serta cara untuk memastikan kesemua janji itu dilunaskan.

“Semua parti politik adalah sama. Dalam menuju pilihanraya umum, masing-masing akan membentangkan manifesto pilihanraya mereka yang paling meyakinkan dan menabur janji untuk pengundi.

“Kemudian, selepas pilihanraya berakhir, kandungan manifesto tersebut akan dilupakan sehinggalah pilihanraya yang seterusnya. Lazimnya, manifesto tersebut akan diulang guna atau dijadikan versi baharu untuk dipersembahkan lagi kepada rakyat,” ujar Mohd Salleh.

Tambah beliau, kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bersalah kerana tidak menunaikan janji-janji semasa pilihanraya, atau sebahagian daripadan janji-janji tersebut.

Hakikatnya, tidak semua janji itu munasabah untuk ditunaikan kerana ia dibuat semata-mata untuk menjadikan manifesto itu nampak meyakinkan.

“Walau bagaimanapun, untuk bersikap adil, sebahagian daripada janji itu boleh direalisasikan namun memerlukan kekuatan politik. Pada masa yang sama, tidak janji tersebut popular dalam kalangan pengundi atau bagi penyokong akar umbi dalam setiap parti politik,” kata beliau.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agungnya pada penghujung bulan ini. Sehingga kini tempoh 18 bulan sudah berlalu semenjak pilihanrya umum pada Mei 2013 dan berbaki lebih kurang tiga tahun lagi sebelum pilihanraya yang seterusnya.

“Saya sangat percaya, inilah yang sepatutnya perlu dianalisa dan diperdebatkan delegasi UMNO dalam perhimpunan itu nanti. Keyakinan para pengundi terhadap usaha Barisan Nasional menjaga kesemua janjinya adalah satu cara bagi parti ini untuk terus mendapat undi pada masa akan datang,” ujar Mohd Salleh.