Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berjanji akan memastikan pemilihan semula parti yang dijadual berlangsung pada 6 Nov depan berjalan dengan sihat dan lancar.

Beliau berkata pemilihan semula itu bertujuan untuk memperkasa dan mentransformasikan parti berusia 69 tahun itu selain mengelak berlakunya pepecahan dalam kalangan anggota parti.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menegaskan, beliau tidak akan menyokong mana-mana pihak dalam pemilihan semula parti berkenaan kerana semua calon yang bertanding merupakan penyokongnya termasuk calon bagi jawatan timbalan presiden.

"Sejak dari awal mesyuarat, saya berpendirian ini (pemilihan semula) adalah proses demokratik. Jadi saya tidak membuat keputusan menyokong sesiapa, satu daripada alasannya ialah kerana calon yang bertanding merupakan sebahagian daripada kumpulan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Menara Felda di sini, Ahad.

Turut hadir Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, bekas Naib Presiden MIC Datuk S.K Devamany dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC P. Kamalanathan, Ketua Pemuda C.Sivarraajh dan Ketua Wanita M.Mohana bersama-sama 1,500 perwakilan.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan beberapa anggota MIC supaya tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden kerana khuatir ia akan memecah-belahkan parti itu, Dr Subramaniam berkata:

"Mungkin setiap orang mempunyai cita-cita politik mereka sendiri. Bagi kami untuk menyatakan anda tidak boleh meneruskan aspirasi anda, adalah sesuatu yang agak sukar dilakukan. Akhirnya, kita perlu bersatu dan bersama-sama meneruskan agenda,".

Pemilihan semula MIC bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden antara Saravanan dan Devamany dan persaingan itu dijangka akan menghangatkan pemilihan semula parti berkenaan.

Majlis Tertinggi MIC menetapkan Ahad depan (25 Okt) sebagai hari penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) manakala pemilihan semula parti pada 6 Nov, diikuti Mesyuarat Agung Tahunan pada hari berikutnya, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan MIC mengadakan semula pemilihan selepas membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013, selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan.