Rakyat akan mengalami kerugian yang lebih sekiranya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diguna pakai semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN), manifesto pembangkang adalah contoh hasutan dan mainan persepsi kerana GST bukanlah punca sebenar kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

"Bagi ekonomi yang sedang berkembang, sebahagian kos barangan akan meningkat tetapi selepas kita perkenal GST di Malaysia, kerajaan telah memberi pengecualian kira-kira 600 barangan dan perkhidmatan.

"Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi pengecualian seperti itu.

"Janji pembangkang mengenai GST adalah tidak realistik dan harga barangan tidak semestinya akan turun sekiranya GST dimansuhkan kerana harga barangan bukanlah dikawal oleh kerajaan," katanya di dalam sesi bual bicara "Mandat" selama satu jam di TV3 malam ini.

Najib turut menegaskan bahawa kadar GST di Malaysia adalah antara yang terendah, iaitu hanya enam peratus.

Menurutnya, pelaksanaan cukai tersebut adalah perlu bagi persediaan jangka panjang apabila Malaysia mengurangkan kadar kebergantungan kepada minyak sebagai punca pendapatan negara.

"Kita hanya menghasilkan 600 tong minyak dan kita sepatutnya berhadapan dengan kemelesetan ekonomi ketika harga minyak dunia merudum pada dua tahun lepas, tetapi GST menyelamatkan negara," katanya lagi.

Najib berkata, pengenalan GST dirancang lebih awal, namun cadangan itu tidak dilaksanakan kerana bimbang ia akan memberi kesan politik.

"Tetapi ini adalah untuk kesejahteraan rakyat, mungkin kita terpaksa hadapi kesan dari aspek tindak balas politik, tetapi lambat-laun rakyat akan sedar bahawa ini (pelaksanaan GST) merupakan langkah yang paling baik dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, RM43 bilion hasil GST telah berjaya dikutip tahun lepas bagi menampung antaranya perkhidmatan kesihatan, kenaikan gaji tahunan penjawat awam, pengurangan dua peratus cukai pendapatan, bantuan kepada pekebun kecil, bayaran khas kepada penjawat kerajaan dan pesara serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Di samping itu, kata Najib yang juga menteri kewangan, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendapatan negara kasar, malahan mengambil kira kebajikan dan jurang pendapatan rakyat.

"Jadi kalau kita mengamalkan ekonomi yang bebas dan terbuka tanpa adanya intervensi daripada kerajaan, maka jurang pendapatan akan melebar di antara golongan isi rumah berpendapatan tinggi, berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

"Kita ambil ketetapan mesti ada keadilan sosial sebab itu kita perkenal BR1M, kos kesihatan minimum, pengangkutan awam dan sebagainya," katanya lagi.

-- BERNAMA