Sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal teguh di kawasan Rajang, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Masing.

Katanya ini kerana Najib memahami keperluan rakyat di kawasan itu dan khidmat beliau sangat dihargai mereka.

Bercakap pada sidang media selepas prapelancaran Jambatan Kanowit di sini hari ini, Masing berkata Najib, perdana menteri Malaysia keenam, telah membantu menghubungkan Kapit, sebuah pulau di dalam kepulauan Borneo, dengan kawasan lain.

Najib telah menjadikan harapan sebagai kenyataan dengan membenarkan sambungan dari Kanowit ke Kapit melalui pembinaan jalan Kanowit-Kapit.

"Jangan minta kami supaya tidak menghargai jasanya. Beliau adalah perdana menteri keenam dan membolehkan perkara ini menjadi kenyataan selepas 54 tahun (pembentukan Malaysia). Kami akan menyokong pemimpin yang faham dengan keperluan kami dan Najib memahaminya," katanya.

Masing menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya sokongan rakyat terhadap kerajaan dan Barisan Nasional dibalas dengan janji kosong.

Mengenai Jambatan Kanowit, iaitu sebahagian daripada projek pembinaan jalan Kanowit-Kapit, beliau berkata projek itu menjadi kenyataan kerana rakyat telah memilih wakil yang betul, yang sentiasa berusaha dan berhubung dengan pihak berkuasa.

Jambatan sepanjang 350 meter bernilai RM52 juta itu merupakan fasa pertama yang akan menghubungkan Kapit dengan dunia luar. Jambatan Katibas pula dijangka siap pada Julai ini manakala satu lagi laluan adalah Jalan Nanga Ngema-Nanga Temalat sepanjang 14 kilometer.

"Sebaik sahaja siap, kesemua laluan menghubungkan Kapit akan lengkap dan dari sini, anda boleh ke pekan itu dalam sejam setengah sahaja," katanya.

Kerja akhir untuk menyiapkan Jambatan Kanowit sedang dilaksanakan dan ia akan dibuka kepada orang ramai pada 27 Mei, beberapa hari sebelum sambutan Gawai.

-- BERNAMA