Pengundi di Teluk Intan hari ini akan membuat pilihan siapakah ahli parlimen baharu mereka selepas tamat tempoh kempen dua minggu pilihan raya kecil yang bermula dengan tertib tetapi berakhir dengan sedikit ketegangan.

Lebih 60,000 pengundi akan membuat pilihan antara calon Barisan Nasional, Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dalam persaingan satu lawan satu yang disifatkan oleh penganalisis sedikit memihak kepada calon DAP.

Mah, 53, adalah bekas wakil rakyat dua penggal kawasan ini serta merupakan bekas timbalan menteri. Beliau kini adalah Presiden Gerakan. Dyana pula merupakan peguam muda berumur 27 tahun dan setiausaha politik kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Teluk Intan
Dyana Sofya Mohd Daud - Calon DAP

Mah yang juga anak tempatan akan mengundi di Sekolah Menengah Abdul Aziz. Dyana bagaimanapun bukan pengundi di Teluk Intan.

Bekas Ahli Parlimen

Pilihan raya kecil Teluk Intan ini diadakan ekoran kematian bekas ahli parlimennya, Seah Leong Peng daripada DAP yang meninggal dunia akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lalu, Seah mengalahkan Mah dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi. Mah menyandang kerusi parlimen Teluk Intan selepas pilihan raya umum 1999 ddan 2005 sebelum kalah kepada calon DAP, M. Manogaran pada 2008.

Pengundi Cina membentuk kumpulan terbesar iaitu sebanyak 42 peratus (25,310) diikuti oleh pengundi Melayu 38 peratus (23,301) dan pengundi India sebanyak 19 peratus (11,648).

Faktor penentu undian

Jumlah pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini akan jadi penentu siapa yang akan menang. Ini kerana penganalisis politik merasakan trend undian mengikut pola pecahan pengundi mengikut kaum tidak akan banyak berubah. Majoriti pengundi Cina mengundi DAP sebellum ini manakala majoriti pengundi Melayu mengundi BN.

Penganalisis yakin peratusan mengundi sebanyak 65 peratus atau kurang boleh menyebabkan DAP kalah. Disebabkan itu juga Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh menggesa pengundi luar yang dianggarkan seramai 6,000 (10 peratus) agar pulang mengundi. Sekiranya jumlah peratusan pengundi mencecah 70 peratus, ia mungkin satu kemenangan selesa buat DAP.

Klik : Galeri Foto PRK Teluk Intan

Pada pilihan raya umum yang lalu, jumlah peratusan pengundi adalah yang terbesar dalam sejarah pilihan raya kawasan ini iaitu 80 peratus. Sekiranya jumlah peratusan itu menurun dengan mendadak, DAP mungkin akan menyaksikan kemerosotan majoriti undiannya.

DAP mengharapkan sokongan daripada pengundi muda terutamanya daripada kaum Cina serta Melayu untuk menang manakala BN menagih undi daripada kaum India.

Pengundi India yang sebelum ini menyumbang sekitar 40 peratus sokongan kepada BN dijangka akan beralih kepada BN dengan jangkaan sehingga 60 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka akan mengumumkan keputusan seawal pukul 9 malam ini selepas proses penjumlahan undi di SMK Abdul Rahman Talib selesai.

Kempen kotor

Kempen di Teluk Intan telah digerakkan seawal 19 Mei lagi selepas penamaan calon dan selepas Dyana diumumkan sebagai calon DAP. Beliau mendapat perhatian yang agak luar biasa kerana lahir dalam keluarga penyokong partiUMNO tetapi menjadi ahli sebuah parti yang dikuasai oleh kaum Cina.

Keputusan DAP menamakan seorang calon Melayu bagi kerusi majoriti pengundi Cina ini dilihat satu usaha parti itu untuk mengikis imej kecinaannya selepas ia hanya menang 29 peratus daripada 23,391 undi Melayu dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Bagaimanapun, langkah awal Pakatan Rakyat itu terbantut apabila serangan ke atas Dyana mula timbul termasuk fitnah foto dia berbikini dan kenyataan seksis tentang paras rupanya.

Jika Dyana menang, beliau akan jadi ahli parlimen Melayu wanita yang pertama buat DAP. Beliau juga akan menjadi antara ahli parlimen paling muda dan seorang daripada tiga ahli parlimen Melayu dalam penggal sekarang.

Jika Mah menang, beliau dijangka akan dilantik sebagai menteri kabinet seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua tiga hari lalu. Mah berulang kali menepis dakwaan beliau akan menerima tawaran 'pintu belakang' untuk menjadi senator sekiranya kalah. Katanya, beliau akan "mengambil tanggungjawab penuh" sekiranya BN kalah.

Manifesto kempen Dyana dikritik kerana terlalu memberi fokus kepada isu-isu nasional seperti kos sara hidup yang meningkat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pemerkasaan wanita dan belia. Mah dalam manifesto pilihan rayanya pula menjanjikan pembangunan termasuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pelancongan dan industri berasaskan tani.

Pusat mengundi

Terdapat 37 pusat mengundi di Teluk Intan dengan 120 saluran mengundi. 19 daripadanya terletak di kawasan DUN Pasir Bedamar yang majoriti pengundinya kaum Cina manakala 18 duduk dalam kawasan DUN Changkat Jong yang majoritinya Melayu.

Suasana di pusat mengundi di Kampung Bahagia, Taman Cicely, Kampung Banjar, Pasir Bedamar di Changkat Jong dijangka hangat. Ini adalah antara pusat mengundi yang besar dengan sokongan sama kuat antara BN dan Pakatan Rakyat.

Pusat mengundi dengan jumlah pengundi terbesar iaitu seramai 4,088 ialah di Taman Seri Setia di Pasir Bedamar. Pusat yang paling kecil ialah di Sungai Temah dengan hanya 65 pengundi.

Pengundian awal diadakan empat hari lalu melibatkan anggota polis dan tentera. Sejumlah 392 orang daripada 410 pengundi awal yang berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Apa yang diingati tentang kempen pilihan raya kecil Teluk Intan?